Sunday, April 22

Sampai bila mahu jadi zalim?

Kita tersedar akan kebakaran di rumah kita tetapi kita hanya senyap dan menyelamatkan diri sendiri sedangkan kita tahu bahawa ramai lagi yang sedang terlena dan tidak sedar akan kebakaran yang sangat dahsyat sedang berlaku.

Zalim kan?

Itulah perumpamaan orang yang menyembunyikan kesaksiannya sedangkan ramai lagi yang belum tahu hakikat ini. Kesaksian bahawa "tiada tuhan melainkan Allah dan nabi Muhammad itu pesuruh Allah." 

la ilaha ilallah,muhammadur rasulullah.


Alhamdulillah, Allah telah mengurniakan kefahaman tentang Islam kepada kita. Akan tetapi, cuba lihat di sekeliling kita. Lihat kawan-kawan kita, lihat keluarga kita. Adakah kita hendak 'menyimpan' apa yang kita faham buat diri kita sahaja? (ok sila terasa, wahai yang menulis)

Siapakah yang lebih zalim daripada orang yang menyembunyikan kesaksiannya di sisi Allah..? 

Syahadatul Haq

Syahadatul Haq adalah sebuah persaksian akan hakikat syahadah. Ana ingin mengajak ana dan antum untuk merenung kembali kalimah syahadah kita. 

"Aku berSAKSI bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan aku berSAKSI bahawa nabi Muhammad itu pesuruh Allah."

Adakah dengan melafaz kalimah ini, kita sudah menjadi muslim yang sejati? 

Kesaksian ini telah menjadikan kita sebagai seorang saksi. Kita telah bersaksi bahawa tiada ilah yang layak disembah melainkan Allah dan nabi Muhammad itu pesuruh Allah. Syahadah yang telah kita lafazkan bukan sekadar tertegak dengan solat, puasa, bayar zakat dan mengerjakan haji. 
Tidak, tidak. 

Cuba renung kata-kata Abu A'la Al-maududi ini.

 


Maka, apa peranan seorang saksi? 

Kita adalah Umat Pertengahan

Dan kami jadikankanmu (wahai umat Muhammad) satu ‘umat pertengahan’ , supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (sebagai SAKSI tentang yang benar dan yang salah) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatanmu. 
(Al-Baqarah: 143)

Untuk memudahkan, gambar rajah di bawah menerangkan maksud ayat di atas. 


Kita, umat Islam adalah umat pertengahan. Allah s.w.t telah mengutuskan para Rasul untuk menyampaikan kalimah Syahadatul Haq [baca: dakwah] kepada kita, umat Islam. Maka, siapalah lagi yang bakal mewarisi tugas-tugas ini jika bukan kita? 

Lihatlah sahabat-sahabat sekalian,
Berapa ramai lagi yang tidak tahu apa apa tentang islam?
Berapa ramai lagi yang masih terlena dengan jahiliyyah?
Berapa ramai lagi yang masih diulit dengan kelalaian?
Berapa ramai lagi yang masih belum faham apa itu Islam yang sebenarnya.

Tidak ramai. Pada hakikatnya, sangat sedikit yang memahami tentang Islam. Maka, di situlah terletaknya peranan kita sebagai umat pertengahan. Maka, sekali lagi apa peranan kita?

Peranan Kita

Tidak dapat tidak, kita perlu menyampaikan kepada orang lain. Tugas menyebarkan risalah Syahadatul Haq [baca:dakwah] tergalas di atas bahu kita. Bukan sekadar kepada ustaz ustazah, ulama', mufti dan sewaktu dengannya. 

Cuba antum fikirkan, bagaimana hidayah Allah itu oleh sampai kepada mereka melalui kita sekiranya kita 'menyembunyikan' Islam? 
Cuba antum fikirkan, jika mereka mendakwa kita di akhirat kelak?

"Ya Allah, aku jumpa dia hari-hari dulu, tapi tidak pernah dia ajak kepada kebaikan. Masukkan dia ke dalam neraka bersama kami....."

Allahu Allah. Berat kan?

Tidak mengapa. Kita mulakan dengan akhlak kita dahulu. Berakhlaklah dengan akhlak yang baik. Itu juga dakwah. 

Bagaimana akhlak yang baik boleh menjadi dakwah? Begini, kita singkap balik sirah Rasulullah s.a.w. Kita ambil satu kisah di mana seorang wanita Yahudi buta yang memeluk Islam gara-gara akhlak Rasulullah. Setiap kali memberi makanan kepada wanita Yahudi itu, baginda Rasulullah s.a.w akan menghancurkan makanan itu terlebih dahulu supaya lebih mudah untuk dimakan. Pada masa yang sama, wanita Yahudi sering menyelar nabi Muhammad s.a.w akan tetapi nabi Muhammad s.a.w tidak membalas. Akhirnya setelah baginda s.a.w wafat, barulah wanita Yahudi itu mengetahui bahawa orang yang sentiasa memberikan makanan kepadanya adalah Rasulullah s.a.w lantas memeluk Islam. 

Nampak? Bagaimana akhlak bisa menjadi dakwah? Akan tetapi, bukan itu sahaja yang boleh kita buat. Islah nafsak, wad'u ghairak. (perbaiki diri dan serulah orang lain). Terdapat pelbagai medium yang boleh kita laksanakan tugas ini iaitu melalui percakapan/penulisan (teori) dan melalui perbuatan (praktikal). Ajak pergi solat berjemaah sama-sama, ajak pergi majlis ilmu, jika kawan buat silap, tegurlah dengan berhikmah. 

Maka, hendaklah kita menyampaikan secara individu mahupun berjemaah. Ataupun dengan erti mudah, melalui tarbiyyah.

Tarbiyyah bukan segala-galanya, tapi segala-galanya bermula dengan tarbiyyah

Sememangnya selepas mendengar tentang ini, tak kira melalui daurah atau dalam usrah, tidak semestinya kita terus pandai.  Tidak. Di sinilah peranan tarbiyyah itu. Melalui tarbiyyah, kita mampu membentuk diri sebagai individu muslim sejati. Dengan tarbiyyah, ia akan membina kefahaman yang mantap dan bertahan lama. Maka, sebab itulah kita perlu komited dan konsisten dengan dakwah dan tarbiyyah ini. Kerana apa yang kita dapat, memerlukan masa untuk dihadam oleh akal dan diterjemah oleh amal. Maka tarbiyyah-lah permulaannya :) 

Kesimpulan 
Kita kena faham bahawa menyebarkan Syahadatul Haq ini bukan sahaja kepada orang yang belum lagi Islam, akan tetapi lebih fokus kepada mereka yang telah melafazkan kalimah syahadah ini. Ingat, syahadah bukan sekadar lafaz, tetapi ia adalah penterjemahan amal. 

Bukankah buruan kita Syurga yang Hosem? 
Maka...
Ayuh, sama-sama kita galas tugas Syahadatul Haq ini...!
Dakwah itu Mudah :) 

p/s : kata-kata Saidina Ali, tambatlah ilmu dengan menulis. Alhamdulillah, walaupun berada dalam kondisi yang tidak sihat semasa daurah tadi, mudah-mudahan ada yang melekat. 
p/s/s : tulisan ini pertama-tama untuk mengajak dan menegur diri sendiri terlebih dahulu.
p/s/s/s : Hujung minggu ini adalah hujung minggu yang sangat osem! :) 




No comments: