Suasana subuh yang hening amat menenangkan jiwanya. Perasaannya pada pagi ini begitu berbeza. Tidak seperti hari-hari sebelumnya. Kalau semalam, hatinya berkocak, otaknya bercelaru, hari ini tidak. Segalanya kembali tenang. Segala pengharapan diletakkan setinggi-tinggi kepada Allah Azza Wa Jalla. Semua pergantungan digantungkan hanya Allah yang memegang hati-hati. Kini yang dia harapkan hanyalah cinta Ilahi, redha Ilahi dan kasih sayang-Nya.
Tidak semena-mena telefon bimbit Nokia X2-01 berbunyi. Memecahkan suasana hening pagi. Nama murobbiyahnya terpampang jelas pada skrin telefon bimbitnya. Lantas ditekannya butang ‘read’. Bait-bait kalimah daripada SMS itu dibacanya satu persatu. Terasa manik-manik jernih hangat mengalir keluar menuruni pipi mulusnya. Terasa kasih sayang Ilahi menghembus dingin di ruang hatinya. Hatinya tidak henti-henti mengucapkan kata syukur.
“Terima kasih, ya Allah…” Aisyah Humaira’ lantas melakukan sujud syukur. Hari ini dia betul-betul yakin dan yakin betul-betul bahawa cinta Ilahi takkan pernah mengecewakan.
********
“Mak, saya tak sedia lagi…” Aisyah Humaira’ menolak lembut. Riak wajahnya sedaya upaya dipujuk supaya menunjukkan riak tenang. Hatinya tidak henti-henti berzikir kepada Allah. Jawapan yang dia berikan itu sekadar alasan. Bukan sebab tidak sedia, tapi ada suatu yang lebih besar yang dia fikirkan.
“Mak dah tak tahan dah. Ni dah kali ke berapa dah kau tolak?” Nyata ada nada kesal pada suara ibunya. Sedikit meninggi.
Aisyah Humaira’ menunduk. Air matanya bergenang. Hatinya bergelora.
“Belum jodoh mak. Nak buat macam mana?” akhirnya kata-kata itu keluar dari mulutnya. Setelah sekian lama senyap mengumpul kekuatan.
“Belum jodoh apanya Ecah oi, dah kau yang tolak pinangan yang datang…”
Hati Aisyah Humaira’ terusik. Kolam air matanya yang dari tadi bergenang akhirnya pecah juga. Tidak mampu rasanya untuk menelan ujian-Nya ini.
“Ya Allah, ujian apakah ini?” desis hati Aisyah Humaira’. Malamnya bertemankan air mata. Ujian yang menimpanya dirasakan begitu berat. Berat rasanya untuk menolak desakan keluarganya agar terima sahaja pinangan yang datang. Memang, petang tadi untuk kesekian kalinya, pinangan anak muda kampung ditolaknya. Bukan dia tidak bersedia. Akan tetapi, ada pertimbangan lain yang bermain di mindanya. Belum punya jodoh.
Kata-kata ibunya buat kesekian kalinya menerjah minda lantas menjatuhkan air matanya. Sekali lagi dia menangis. Seakan tidak mampu untuk dirinya menahan desakan keluarganya. Seakan mahu sahaja dia menuruti kata-kata ibunya. Telefon bimbitnya dicapai. Dicarinya nama sahabatnya Fatimah Az-zahra lalu ditekannya butang ‘call’.
“Assalamualaikum. Boleh saya bercakap dengan Fatimah Az-zahra binti Abdullah?” bicara Aisyah Humaira’ sambil menggaraukan suaranya. Aisyah Humaira’ sememangnya perwatakannya begitu. Biarpun dilanda masalah, sering sahaja bergurau senda dengan sahabatnya itu.
“Waalaikumussalam cik Aisyah Humaira’ binti Hashim. Maaf, nombor yang anda dail tidak terdapat dalam perkhidmatan. Tut. Tut. Tut.”
Ketawa kedua-duanya pecah. Begitulah ukhuwwah antara mereka berdua. Sangat rapat. Umpama adik beradik kandung. Kerana ukhuwwah itulah dari kejauhan Fatimah dapat merasakan ketawa Aisyah sebenarnya hambar. Seperti dipaksa.
“Aisyah..enti ada masalahkah?”
“Seperti biasa Fatimah. Semalam ada lagi orang masuk meminang. Ibu ana dan ayah ana asyik-asyik mendesak ana untuk menikah. Ana tidak pasti lagi dah, sampai bila ana boleh bertahan. Kadang-kadang, ingin sahaja ana mengalah dengan desakan mereka…” Aisyah Humaira’ meluahkan apa yang terbuku di hatinya.
“Sabar ukhti, sabar. Yakinlah. Allah bersama dengan orang yang sabar.”
“Memang, tapi sampai bila? Ana dah tak tahan dengan desakan-desakan keluarga ana.”
Suasana senyap sebentar.
“Kenapa kita perlu tunggu ikhwah jugak? Ramai juga calon lain yang soleh, kenapa mereka?” Aisyah Humaira’ menyambung lagi.
Menanti jodoh daripada kalangan ikhwah yang sefikrah. Dengan harapan dapat meneruskan perjuangan dakwah dengan lebih baik dan tidak terganggu. Kalau bernikah dengan lelaki yang bukan sefikrah, mereka tidak tahu bagaimana bentuk perjuangan yang kita perjuangkan. Bagaimana masa akhwat kita perlu pergunakan. Usrahnya, programnya, dan lain-lain. Mereka sukar untuk faham, sehingga gerakkan kita bakal terhambat. Apatah lagi jika pasangannya tidak ditarbiyah langsung. Jauh lebih huru-hara.
Aisyah Humaira’ sebenarnya sedar akan hakikat itu. Cuma kecelaruan fikiannya, kekocakan hatinya membuatkan dia berbicara sedemikian rupa.
“Aisyah, carilah cintaNya terlebih dahulu. Berdoalah padaNya. Sememangnya manusia mencari Allah ketika dalam kesusahan. Berdoa untuk memenuhi keperluan dunia semata-mata. Bila mana keperluan itu dipenuhi, maka mereka lupa akan Allah.”
Senyap. Air mata Aisyah dari hujung talian sudah mengalir laju.
“Ukhti, ikhlaskanlah hati ukhti dengan seikhlas-ikhlasnya. Mungkin selama ini kita meminta untuk disegerakan menikah bukan kerana mencari redha dan cinta Allah semata-mata. Sesungguhnya ukhti, usah resah jika belum berpasangan. Maka resahlah jika cinta Allah bukan menjadi matlamat utama kita lagi. Ingat ukhtie, setiap yang berlaku, pasti ada hikmahnya. Begitu juga dalam kes enti ini. Carilah cintaNya terlebih dahulu. Carilah redhaNya. Ana sendiri, kalau boleh mahu sahaja segera menikah. Tapi Allah masih menangguhkannya. Mungkin sahaja ana masih lagi belum bersungguh dalam meraih cintaNya. Mungkin juga jika ana menikah sekarang, gerak kerja dakwah dan tarbiyyah ana semakin perlahan. Boleh saja matlamat cinta ana lebih menghala kepada makhlukNya, bukan pencipta makhlukNya. Ingat ukhtie, galilah hikmahnya. Cari cinta Allah dahulu. Ikhlaskan dan luruskan niat. InshaAllah ukhti. Allah akan tunjukkan jalan.
Aisyah senyap di hujung talian. Segenap kekuatan dikumpul untuk berbicara semula.
“InshaAllah ukhti. Jazakillah. Ana pegang kata-kata ukhti.” Aisyah akhirnya berbicara. Akhirnya, perbualan mereka terhenti di situ. Air matanya mengalir laju. Al-quran terjemahan berwarna ‘gold’ di atas kepala katil dicapai lalu dibaca dengan harapan boleh mengubati duka hatinya. Kebetulan matanya tertumpu kepada satu ayat cintaNya,
Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keredhaan) Kami, benar- benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah benar-benar beserta orang-orang yang berbuat baik.
[Q.S. Al-Ankabut, 29:69]
“Allah….sudah benarkah tujuan hidupku untuk meraih cintaMu? Menggapai cintaMu? Adakah benar aku beramal semata-mata untukMu? Ya Allah, sudah begitu banyak nikmatMu, adakah aku pernah bersyukur?”
Malam itu tidak dia sia-siakan begitu sahaja. Solat malam didirikan. Ayat-ayat cintaNya dibaca dan ditadabbur terjemahannya.
Di dalam syurga itu ada bidadari-bidadari yang baik- baik lagi cantik-cantik.
Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?
(Bidadari-bidadari) yang jelita, putih bersih, dipingit dalam rumah.
Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan? Mereka tidak pernah disentuh oleh manusia sebelum mereka (penghuni-penghuni syurga yang menjadi suami mereka), dan tidak pula oleh jin.
Surah Rahman:70-74
Ayat itu mengubat hatinya. Lantas dia menanam tekad,
“jika jodohku tidak di dunia, maka kurniakanlah aku jodoh di akhirat kelak…”
Malam itu, air matanya mengalir lagi. Mengalir kerana rindukan cinta Rabbnya. Rindukan keredhaanNya.
Dia yakin, dia merancang, Allah merancang dan Allah sebaik-baik perancang. Siapa tahu rencana Allah kan?
******
SMS murobbiahnya dibaca sekali lagi.
“Salam ukhti. Alhamdulillah, zauj ana bagitau ana ada ikhwah yang hendak merisik enti. Jika enti bersedia, ana dan zauj ana boleh susunkan suatu majlis taaruf buat enti dan ikhwah itu…”
Aisyah yakin. Kini yakin, bahawa rencana Allah itulah yang sebaik-baiknya.
Tamat.
Alhamdulillah. Tamat jugak cerpen ini. Mula ditulis selepas Jaulah KL. Terlintas untuk menulis lepas dengar pengisian tentang Peranan Wanita dalam DnT dan tertangguh dek kesibukan. Malam ini saya berazam menghabiskannya untuk mengelakkan mata saya tertarik dengan anugerah bintang popular di tv. Saya juga manusia biasa yang ingin merubah diri ke arah kebaikan. Maaf cerpen kucar kacir. Dan part akhir kalau nampak tak real, maaf. Sekda pengalaman gik. Hanya berdasarkan teori.
No comments:
Post a Comment