Monday, July 2

Di hujung gua itu pasti ada cahaya

Gua Niah itu begitu gelap. 
Tidak tahu ke manakah penghujungnya.
Meniti tangga dalam keadaan gelap gelita itu sungguh sukar. 
Perjalanan menuju pintu keluar gua itu bertambah sukar apabila tangga yang dititi itu begitu licin, 
licin disebabkan lumut dan najis kelawar yang sangat banyak. 




gambar hiasan. masa field trip asasi ke Niah. Rindu




tiba-tiba,
dush, jatuh bergolek-golek.
tertenyeh segala najis kelawar pada pakaian.


adakah kita nak segera berdiri dan cepat-cepat bersihkan pakaian?
ataupun kita teruskan bergolek-golek atas najis tersebut dan mentenyeh-tenyehkan lagi kat pakaian kita?


sudah tentu tidak kan?


semestinya kita akan segera berdiri dan cepat-cepat bersihkan pakaian kita. 


***


Begitulah Kehidupan


Seorang manusia itu tidak mendapat mendapat mandat maksum seperti mana Rasulullah shallalahu 'alaihi wasallam. Maka dia tidak terlepas daripada melakukan dosa. Perjalanan seorang manusia itu pula tidak akan pernah sesempurna fairy tale atau perjalanan cerita novel. Adakalanya terjatuh. Berlumur dosa. 

Dosa itu umpama najis. Kita tahu najis itu busuk. Maka kita berusaha menjauhinya. Apabila terjatuh dan tertenyeh najis pada pakaian, sudah tentu kita cepat-cepat membersihkannya. Apatah lagi dosa. Hendaklah kita berusaha menjauhinya dan jika telah melakukan dosa tersebut, cepat-cepatlah mencari keampunanNya. 




Semuanya Ada Pada Hati


"Sesungguhnya dalam diri manusia itu ada seketul daging. Jika daging itu baik, maka baiklah seluruh anggota badannya tetapi seandainya daging itu rosak dan kotor, maka kotor dan rosaklah seluruh anggota badannya. Daging yang dimaksudkan ini adalah hati."

(Riwayat Bukhari dan Muslim)



Bagi orang yang beriman, dosa itu ibarat gunung yang menghempap manakala orang yang sebaliknya, ia sekadar sepeti lalat yang hinggap pada hidung. Kerana semuanya ada pada hati. Hati yang bersih itu umpama kain putih. Apabila ada sahaja kotoran yang melekat, sudah tentu kotoran itu jelas kelihatan dan cepat-cepat kita membersihkannya. Tapi apabila kotoran itu melekat pada kain yang hitam, sukar untuk kita mengesan kekotoran tersebut, maka kita pun sekadar membiarkannya. Begitulah pula perumpamaan hati yang kotor dan gelap.


“Siapa yang melakukan satu dosa, maka akan tumbuh pada hatinya setitik hitam, sekiranya dia bertaubat akan terkikislah titik hitam itu daripada hatinya. Jika dia tidak bertaubat, maka titik hitam itu akan terus merebak hingga seluruh hatinya menjadi hitam.” 

(Hadis riwayat Ibn Majah)


Kita pula bagaimana? 
Adakah dosa itu umpama gunung menghempap?
Atau sekadar seperti lalat hinggap?


Sukar Untuk Meninggalkan Dosa



Kenapa sukar untuk meninggalkan dosa? Jawapannya, pada hati kita. Maka, rawatlah hati kita dengan rawatan yang intensif. Jika kita benar-benar sayangkan Allah, itulah motivasi terbaik untuk kita meninggalkan dosa-dosa kita yang telah kita lakukan. Di samping itu, berbanyakkanlah melakukan amal kebaikan kerana itu sedikit sebanyak menyucikan hati kita. Selain itu, kurangkanlah berbicara benda yang sia-sia. Bagi yang banyak cakap tu macam saya eh, apa kata kita gantikan dengan perkara-perkara yang lebih berfaedah. Mudah kan? Perbanyakkan juga zikrullah dan zikrul maut. Cuba fikir, kalau kita sentiasa mengingati Allah, kita tahu Allah itu Maha Melihat, Allah itu Maha Teliti perhitungannya, adakah kita berani untuk melakukan dosa? Dan juga, zikrul maut. Kita tidak tahu bila ajal itu. Apabila kita sering memikirkan ajal itu akan menjemput kita bila-bila sahaja, pasti kita akan lebih waspada kan? Bagaimana jika kita mati dalam keadaan kita bermaksiat? Adakah kita masih lagi berani mendekati dosa?

Keampunan Allah itu Luas


Manusia itu, ada jatuh, ada bangunnya.
Manusia itu, ada lemah, ada kuatnya. 


Resmi manusia itu, 
bila jatuh, pasti akan segera bangun.
bila lemah, pasti akan segera mencari kekuatan.


Maka, 
begitu juga jika kita jatuh ke lembah dosa,
begitu juga jika kita lemah untuk bangkit. 


Segeralah kembali kepadaNya.




Di hujung gua itu pasti punya cahaya. 
Begitu juga cahaya rahmat Ilahi.
Rahmat Allah itu luas.
Maka bersegeralah memohon keampunan dariNya. 



Firman Allah:


dan (ingatkanlah pula hari) didekatkan syurga bagi orang-orang Yang bertaqwa, di tempat Yang tidak jauh (dari mereka). (serta dikatakan kepada mereka): "Inilah Yang dijanjikan kepada kamu, - kepada tiap-tiap hamba yang sentiasa kembali (kepada Allah dengan mengerjakan ibadat), lagi ysangat memelihara dengan sebaik-baiknya (segala hukum dan peraturan Allah); "(Iaitu) orang yang takut (melanggar perintah Allah) Yang Maha Pemurah, semasa tidak dilihat orang dan semasa ia tidak melihat azab Allah, serta ia datang (kepada Allah) dengan hati Yang tunduk taat".  (Mereka dipersilakan oleh malaikat dengan berkata): "Masuklah kamu ke Dalam syurga Dengan Selamat sejahtera; hari ini ialah hari (bermulanya) kehidupan yang kekal".
Surah Qaf : 31-34




P/S: segala penulisan ana dalam blog ini, bukanlah bermakna ana itu baik orangnya. tidak! ana juga tak lepas dari buat kesilapan. maka di sini, ana menulis, agar orang lain tidak mengulangi kesilapan ana. huhu.

 




No comments: