Saturday, July 21

Allah Masih Pilih Kita

Ramadhan itu satu nikmat yang sangat dinantikan, sangat berharga bagi kita semua. 
cuba duduk sejenak, 
renungkan sedalam-dalamnya. 

Berapa banyakkah hati kita dicemari noda? 
Berapa banyakkah jasad kita dikotori dosa? 
Mata kita yang melihat, 
telinga kita yang mendengar, 
tangan yang menyentuh,
kaki yang melangkah. 

Berapa ramaikah orang menjadi mangsa umpatan kita? 
Berapa ramaikah yang menjadi mangsa liarnya pandangan kita?
Berapa kalikah solat dilewat-lewatkan dengan sengaja?
Suara ditinggikan, bertingkah kasar dengan orang tua kita. 

Belum lagi masuk kepada penyakit-penyakit hati,
ujub, riak, takbur dan sum'ah
Allahu rabbi

Andai dosa itu berbau najis, 
entah bagaimanakah busuknya kita dengan dosa kita.

***


Sayu rasanya, apabila ana, seorang insan berdosa yang hina ini Allah izin untuk menempuh madrasah Ramadhan.Setelah debaran menanti apakah sempat diri ini melangkah ke madrasah Ramadhan, alhamdulillah wa syukrulillah kerana limpah kurniaNya serta selawat dan salam kepada junjungan besar kita Nabi Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam kerana penat lelah, peluh dan darah, kesungguhan dan kasih sayang baginda, ana, anda dapat mengecapi nikmatnya Islam dan Iman, serta akhirnya ana, anda melangkah ke bulan yang penuh berkah ini. Mudah-mudahan Allah sampaikan kita hingga ke penghujungnya.

Ramadhan. Satu bulan yang di mana terhampar seluas-luasnya maghfirahNya, diturunkan selebat-lebatnya rahmatNya. Hadiah yang tak ternilai dengan harga buat kita. Yalah, apakah ada perkara yang lain yang lebih bermakna bagi seorang insan berdosa melainkan keampunan dan rahmat dariNya?

Abu Hurairah telah berkata, "Aku telah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda tentang
Ramadhan yang bermaksud: 'Sesiapa yang mendirikannya (Ramadhan) penuh keimanan dan keikhlasan diampunkan baginya apa dosanya yang telah lalu.'"

[Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Tarmizi, Abu Daud, Nasai'e, Malik, Ahmad dan Baihaqi]



Lihatlah! Betapa Allah menjanjikan kita maghfirahNya andai Ramadhan itu tidak kita persia. Ramadhan itu didirikan atas paksi iman dan ikhlas. Tidak cukup dengan itu, Allah subhanahu wa ta'ala menganugerahkan lagi kepada kita satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Selari dengan firman Allahu subhanahu wa ta'ala yang bermaksud ; 


"Malam kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan" 
[al-Qadr:3]

Allahu rabbi, melimpah-limpah rahmatNya pada bulan ini!



Persoalannya, bagaimanakah kita menghadapi Ramadhan? 

apakah kita bersyukur dengan merebut cintaNya menggapai redhaNya?
atau hanya membiarkan Ramadhan itu berlalu begitu sahaja? 



Ajarkan aku bersyukur kepadaNya


Bersyukur itu bukan pada kata 'aku bersyukur ya Allah' atau 'alhamdulillah' semata-mata. 
Dengan anugerah yang melimpah-ruah daripadaNya, maka bersyukurlah dengan bersungguh-sungguh untuk menjalani Ramadhan ini dengan sebaik mungkin. Jika kita berterima kasih dengan hadiah daripada ayah dan ibu kita, semestinya kita akan berusaha bersungguh-sungguh untuk menggembirakan mereka. Kita menjalani hidup dengan bersungguh-sungguh dan sebaik mungkin. Apatah lagi Allah! Yang menciptakan kita, yang menganugerahkan kita ibu bapa. Dan, dengan belas kasihan, rahmat serta kasih sayangNya kita masih menghirup udaraNya di bulan yang mulia ini. Maka, jalanilah Ramadhan ini dengan bersungguh-sungguh. Berusahalah sebaik mungkin untuk melakukan perubahan. Beribadahlah dengan penuh keikhlasan. 

Ramadhan adalah pemangkin perubahan. 
Ramadhan adalah untuk kita mengutip bekalan.
Ramadhan adalah tanda belas kasihan Tuhan. 
Ramadhan adalah tanda cintaNya.
Ramadhan adalah bukti,
Bukti betapa Dia benar-benar hendakkan kita ke syurgaNya.


"Hendaklah kalian memperbanyakkan pada bulan ini empat perkara: 
Dua perkara yang menyebabkan Tuhan kalian meredhai kalian dan dua perkara yang kalian amat perlukan. Dua perkara yang menyebabkan Tuhan kalian meredhai kalian ialah penyaksian bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan 
sentiasa memohon keampunanNya.
Manakala dua perkara yang kalian perlukan ialah kalian memohon syurga kepada Allah dan berlindung denganNya dari neraka…"


[H.R. Ibnu Khuzaimah, al-Baihaqi dan Abu al-Syeikh Ibnu Hayyan]


Ayuh sahabat! 
Selamat memburu mardhatillah.
Selamat berpesta ibadah.
Selamat mengembara cintaNya.
Selamat menyambut rahmatNya. 


Ramadhan,
Tanda kasih sayang dan cinta Tuhan kepada kita,
Apakah Dia tidak layak untuk kita sembah? 
Apakah nikmatNya tidak layak untuk kita syukuri?


"Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa."
[al-Baqarah, 2:183]



Jom!  Raih cintaNya.
Moga anugerah taqwa menjadi milik kita. 

p/s : Ramadhan Kareem kepada sahabat sekalian. Jom sama sama kita mengejar mardhotillah. Mohon maaf atas segalanya, terima kasih atas segalanya. Sayang anda kerana Allah! nak masuk syurga sama-sama, nak? Jom saling mendoakan. 

No comments: