Wednesday, July 24

iman telur mata.

Lelaki itu, matanya berwarna perang muda. Alis matanya lentik sekali. Wajahnya peranakan Arab. Namun, tubuhnya dibasahi peluh dan ada kesan-kesan darah pada bajunya. 

Dia mendekati saya. Dengan termengah-mengah dia bertanya, 

"kau tahu apa makna syahid?" 

Saya hanya senyap. Lidah kelu, tak mampu menjawab. Dia berkata lagi,

"kau, iman kau, amal kau, lebih ringan daripada telur mata!"


Saya terbangun. Tengok jam, 4 pagi. Allah, alhamdulillah, mimpi rupanya. 




***


Disebabkan mimpi itu, saya kebingungan. Kebingungan sepanjang hari. Pelik. Mimpi yang sangat pelik. Walaupun bunyinya agak kelakar kerana iman dan amal itu dibandingkan dengan telur mata, tapi, itu tidak mendatangkan kesan apa pun. 

Yang lebih mendatangkan kesan, ok, mesti pernah tengok macam mana telur mata kan? Berat ke ringan? Ringan kan? Dan cepat je habis kalau dimakan kan?

Dan lebih menakutkan, iman dan amal saya dikatakan lebih ringan daripada itu menurut mimpu tu. Allahu rabbi. Bergetar badan dengar. 

20 tahun hidup. Amal yang dibuat lebih ringan dari telur mata? 

Allahu rabbi....

Saya terbayang, bagaimana jika ia benar-benar berlaku, Nama dipanggil seorang demi seorang untuk dihisab amalan. Dan Allah kata, 

"amal baik lebih kurang daripada amal jahat."

Allah. tak terbayang macam mana. Naudzubillahi min dzalik. 

Mati, itu bila-bila masa. Menjemput siapapun. Tak kira tua muda miskin kaya. Kerana syaratnya hanya hidup. Firman Allah S.W.T. yang bermaksud "Setiap yang bernyawa pasti akan merasai mati. 

Dan itu bukanlah persoalannya. Persoalan yang utama, bagaimana kita menghadapi hari kematian. Walaupun mati, itu bukan mati sebenarnya. Ia hanya permulaan hidup. Hidup di alam yang lebih abadi berbanding dengan alam dunia yang menggila ini. 

Ketika Rasulullah s.a.w. ditanya tentang siapakah orang yang pintar di antara manusia, jawab baginda, "Mereka itu ialah orang yang memperbanyakkan mengingati mati dan sentiasa bersedia untuk menghadapi kematian."

Dan kita? 
Jika Allah jemput kita sekarang, Allah tarik nyawa kita pada saat ini, amal manakah yang lebih berat? baik atau buruk? 

Buatlah sebanyak manapun kebaikan hatta dengan memberi makan burung sekalipun, kerana kita tidak tahu amal mana yang Allah terima. 

Saya teringat kisah Imam Hasan Al-banna di mana pada suatu hari beliau dijemput untuk menyampaikan ceramah di suatu majlis dan beliau adalah orang yang terawal sampai. Beliaulah penceramah, beliau jugalah yang menyusun kerusi-kerusi sehingga ada yang melarangnya untuk menyusun kerusi. 

Tahu apa yang beliau jawab?

"Aku tidak tahu amal menyusun kerusi atau memberi ceramah akan membawaku ke syurga"

Subhanallah, ini jawapan yang sungguh hebat dari insan yang cukup hebat. Moga Allah merahmati beliau.

Saya menulis, adalah satu peringatan buat diri. Kadang-kadang masih ada jahiliyyah yang melekat dalam diri ini, berkira-kira untuk buat kebaikan. Sama-samalah kita terus beramal dan bekerja, kerana kita tidak tahu amal mana yang Allah terima. Moga-moga kita tergolong dalam golongan yang suka bertemu serta bersedia untuk bertemu dengan Allah seperti yang Rasulullah shalallahu 'alayhi wasalam sebut dalam hadis baginda, 

"Sesungguhnya orang mukmin itu, ketika dijemput oleh maut, digembirakan dengan memperolehi rahmat Allah, maka diapun amat suka untuk bertemu Allah, maka Allah S.W.T. pun suka bertemu dengannya. Manakala orang kafir pula ketika dijemput oleh maut, diberitakan kepadanya akan mendapat azab Allah, lalu dia pun benci bertemu Allah, maka Allah pun benci bertemu dengannya."

Moga beroleh syurga. 
Jom, dah lepas separuh ramadhan. 
Make full use of it. 
Jom, melaju vavavuuum!



No comments: