Usai usrah, seperti biasa Humaira akan bersalam-salaman dengan adik adik bulatan gembiranya.
“Terima kasih akak…alhamdulillah, kenyang rohani jasmani kami kak.” bicara Khairunnisa dengan pelat Kedahnya yang agak pekat. Humaira hanya mampu tersenyum. Kadang-kadang geli hati dengan pelat Kedahnya yang agak sukar untuk dibuang. Macam-macam ragam.
Bulatan gembira. Adik-adik bulatan gembiralah buah hatinya. Segala kesibukan sebagai seorang mahasiswa jurusan Bioteknologi Sumber dilupakan buat seketika. Peperiksaan yang kononnya killer, Genetik Am, yang merupakan kertas terakhir bagi peperiksaan akhir semester tidak lagi mengganggu kotak fikirannya. Terasa tenang, dadanya lapang. Setelah selesai seorang demi seorang berlalu pergi menuju Kolej Matahari, tinggal seorang lagi adik bulatan gembiranya. Seperti ada sesuatu yang nak diperkatakan.
“Syafiqah tak balik lagi ke?” tutur Humaira.
“Akak, saya nak tanya pendapat akak. Akak busy tak?”
“Akak takkan busy kalau dengan buah-buah hati akak ni. Hehe. Ada apa ni Syafiqah?”
“Akak, Iqa sebenarnya dah lama dah tertarik dengan tudung akak, tudung akak-akak lain. Cantik dan sejuk mata bila tengok. Sebenarnya, Iqa dah lama nak tanam niat nak pakai tudung labuh, tapi….” Syafiqah tidak menghabiskan kata-katanya. Seperti ada sesuatu yang begitu berat untuk diperkatakan.
“Tapi apa, Iqa sayang?” Humaira bertanya, dengan nada dan cara yang paling lembut.
“Tapi Iqa rasa Iqa tak mampu. Iqa tak tahu nak mula dari mana…” bicara Syafiqah.
Sebenarnya, Humaira sudah lama mengetahui niat adik bulatan gembiranya tersebut setelah memerhatikan Syafiqah membelek-belek tudung labuh yang dijual oleh salah seorang akhowat semasa daurah minggu lalu.
“Syafiqah, andai kata seseorang itu nak berubah, Allah pasti akan bantu. Yakinlah tentang hal tersebut. Tapi, andai nak membuat satu perubahan tersebut, buatlah perlahan-lahan. Tak perlu terlalu drastik.” Kata Humaira.
“Macam mana nak mulakan kak? Dari dulu dah, teringin sangat nak guna tudung labuh. Tapi tiada kekuatan…”
“Begini, bermulalah perlahan-lahan. Akak dulu pun begitu. Nak guna tudung labuh ni pun ada fasa-fasa perubahannya. Macam akak dulu, andai kata tak mampu dulu nak terus bertudung labuh, mulalah dengan pakaian lain dulu. Contohnya, mulalah dengan memakai stoking kaki dan baju labuh dulu. Cuba istiqamah. Bila rasa dah mula istiqamah dengan stoking kaki dan baju labuh, tambah lah lagi dengan sarung lengan..”
Syafiqah hanya mengangguk-angguk. Sememangnya Syafiqah memang telah menggunakan baju labuh, stoking kaki dan sarung lengan bagi menutupi auratnya. Cuma tinggal untuk memakai tudung labuh lagi.
“Dalam masa yang sama, dekatkanlah diri kita dengan majlis-majlis ilmu, timba sebanyak mana ilmu. Dekati diri dengan Allah. Jaga mutabaah amal kita. Bila mana hubungan kita baik dengan Allah, Allah akan bantu. Yakinlah…”
“Selain itu, bersahabatlah dengan sahabat-sahabat yang mendekatkan kita dengan Allah. InshaAllah, di situlah kita membina kekuatan kita.”
Sememangnya, bi’ah solehah lah antara kunci utama perubahan seseorang. Teringat lagi saat saat dirinya ingin untuk mengenakan tudung labuh, bi’ah solehah lah pendorong, penaik semangat Humaira untuk memakai tudung labuh. Melihat sahabat sahabat yang mula mengenakan tudung labuh seorang demi seorang, di situlah dia memperoleh kekuatan.
“Lepas tu, inshaAllah kekuatan tu dah ada, betul tak?”
Syafiqah tersenyum dan mengiakan.
“Bila dah ada kekuatan tu, tak perlulah terus menggunakan tudung labuh berbidang 60”, memadailah melepasi bahu atau bidang 50”. InshaAllah, dari situlah hari demi hari, cubalah untuk teruskan melabuhkan lagi tudung kita.”
“Akak, sekarang saya dah faham. Kita mulakan dari dalaman dulu ye kak?” akhirnya Syafiqah bersuara setelah mendengar dengan begitu tekun.
“Betul tu, iqa. Walaubagaimanapun boleh jadi dari luaran akan efek dalaman…”
“Macam mana tu kak?” Syafiqah menyoal.
“Bila kita dah mula bertudung labuh, kita rasa kita ni membawa imej Islam. Betul tak? Oleh itu, secara tak langsung, akhlak kita terjaga. sebab nak jaga Islam. nak berubah, tak kira dari dalaman atau luaran. yang penting, kehendak untuk berubah tu, perlu ada, seiring dengan usaha.
“Tapi kak, layak ke saya ni kak?”
“Iqa, layak tak layak, bukanlah kita yang layak memikirkannya.Setiap dari kita adalah seorang yang layak, layak untuk membuat kebaikan…”
“Wah kak. Sekarang baru saya betul betul faham. Alhamdulillah, kak. Sekarang ni rasa macam baru dapat kekuatan baru..” Syafiqah berkata dengan begitu bersemangat.
“Alhamdulillah, akak doakan apa yang terbaik buat Iqa. Akak doakan agar Allah permudahkan jalan Iqa ke arah kebaikan. InshaAllah, niat baik, Allah pasti membantu. Bukankah Allah ada berfirman dalam Surah An-nur ayat 35, ‘…Allah memimpin sesiapa yang dikehendakiNya kepada nur hidayahNya itu….’ Lagipun, mesti Iqa sangat cantik kalau dah bertudung labuh…” usik Humaira. Usik mengusik memang dah jadi kebiasaan dalam bulatan gembira mereka. Usik usik semai ukhuwwah.
“Apa la akak ni…malu Iqa tau. Apapun, doakan Iqa.”
“Iqa, ni akak sebenarnya ada bawak sesuatu buat Iqa…” tutur Humaira sambil menyerahkan sebuah beg plastik hitam kepada Syafiqah.
“Boleh bukak ke kak?” Tanya Syafiqah.
“Up to you, my sweetheart…”
Syafiqah membuka beg plastik tersebut. Tudung labuh. Syafiqah mengukir senyuman. Lantas dirangkulnya badan murabbiah nya dan dipeluk seerat-eratnya. Perkataan terima kasih tak henti-henti meniti di bibirnya.
“Iqa, akak sangat sangat sayang Iqa, Nisa, Hasyimah dan Aisyah. Akak harap, muka-muka ini lah yang akan bersama-sama berpimpinan tangan menuju ke syurga kelak."
"InshaAllah kak."
Eh, Iqa tak nak balik ke? Esok bukan kah ada kelas. Lewat dah ni…” jam dah menunjukkan 12.20 tengah malam.
“A’ah lah kak, langsung tak perasan. Apapun, terima kasih banyak kak. Jangan lupakan doakan Iqa. Akak jugak, maan najah untuk exam akak…”
“InshaAllah…”
Masing masing menuju haluan masing masing. Hari itu, Humaira sangat gembira. Mungkin itulah yang dinamakan bulatan gembira.