Tuesday, May 31

Kekuatan Rohani Faktor Kejayaan Pelajar


Belajar dan peperiksaan. Kalimah yang acapkali meniti di bibir insan yang bergelar pelajar. Tidak kira pelajar di sekolah mahu pun di universiti. Memang tidak dinafikan, memang lumrah menuntut ilmu, pasti ada peperiksaan. Menjelang peperiksaan, sudah pastinya setiap pelajar sibuk membuat persiapan yang rapi bagi menghadapi medan peperiksaan. Setiap pelajar gigih dan tekad dengan harapan untuk berjaya dengan cemerlang.  Walau bagaimanapun, berapa ramaikah dalam kalangan kita yang menitikberatkan aspek kerohanian dalam mengejar dan menuju kejayaan? Mungkin ramai antara kita yang memandang sebelah mata akan aspek terpenting ini dalam usaha kita menuntut ilmu.

"Orang yang berakal tanpa agama adalah sesat,orang yang beragama tanpa akal beku, kahwinkanlah antara akal dan agama,maka akan lahirlah hikmah"

Kata-kata hikmah tersebut sudah cukup untuk menerangkan bahawa perlunya aspek kerohanian ditekankan dalam diri setiap pelajar.  Sebelum meneruskan penulisan ini, ingin sekali saya membawa kalian menelusuri episod sejarah Islam silam dan berfikir sejenak. 

Bagaimana Rasulullah S.A.W boleh menjadi seorang mu’allim dan murabbi terunggul? Bagaimana Sultan Salahuddin Al-Ayubi berjaya membebaskan Baitul Maqdis sedangkan Baitul Maqdis dikawal dengan begitu ketat? Bagaimana Sultan Muhammad Al-fateh berjaya menawan Kota Kostatinopel walaupun dikawal ketat dengan sistem pertahanan yang begitu ketat? Jawapannya mudah sahaja. Selain kebijaksanaan dalam mencatur strategi, masing-masing mempunyai kerohanian yang mantap dan hubungan yang baik dengan Allah. 

Sekarang, mari kita meneliti episod kejayaan insan yang pernah menghiasi dada-dada akhbar suatu ketika dahulu, Nik Nur Madihah Nik Mohamad Kamal. Beliau mendapat 20A (19A1, 1A2) merupakan pelajar terbaik SPM 2008 peringkat kebangsaan. Pasti ramai yang tertanya-tanya tentang resipi kejayaan anak kelahiran Kelantan ini. Beliau menekankan hablum minAllah iaitu menjaga hubungan seorang hamba dengan sang Khaliq. Beliau  turut menjaga kepentingan memelihara solat fardhu yang lima. Umum juga sudah dikhabarkan melalui media sebelum ini bahawa beliau juga seorang yang tekun melakukan solat tahajjud.  Di situ, kita dapat lihat keperluan aspek kerohanian dalam mengejar kejayaan dalam bidang akademik mahu pun bukan.


Ilmu umpama cahaya

Apabila berbicara soal kerohanian, sudah tentu ia berkait rapat dengan hati. Hati merupakan organ organ terpenting dalam tubuh badan setiap anak Adam. Hati juga di mana letaknya penilaian Rabb kepada kita. Hati juga tempat di mana jatuhnya pandangan Allah kepada setiap hamba-Nya. Maka, hati perlu dijaga dan dipelihara dengan baik agar tidak rosak, sakit, buta, keras dan lebih-lebih lagi tidak mati. Sekiranya berlaku pada hati keadaan seperti ini, kesannya adalah membabitkan seluruh anggota tubuh badan manusia. Hadis Rasulullah S.A.W :

"Sesungguhnya dalam diri manusia itu ada seketul daging. Jika daging itu baik, maka baiklah seluruh anggota badannya tetapi seandainya daging itu rosak dan kotor, maka kotor dan rosaklah seluruh anggota badannya. Daging yang dimaksudkan ini adalah hati."
(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Hati yang tidak dipelihara akan menyebabkan penyakit-penyakit hati dan berleluasanya pelbagai jenis maksiat. Setiap satu dosa yang dilakukan tanpa taubat, maka timbullah satu titik noda pada hati. Itu baru satu, cuba bayangkan andai dua, tiga, sepuluh, seratus dosa yang dilakukan? Nauzubillahi min zalik! Alangkah hitam dan gelapnya hati kita. Sabda Rasulullah S.A.W :

“Siapa yang melakukan satu dosa, maka akan tumbuh pada hatinya setitik hitam, sekiranya dia bertaubat akan terkikislah titik hitam itu daripada hatinya. Jika dia tidak bertaubat, maka titik hitam itu akan terus merebak hingga seluruh hatinya menjadi hitam.”
(Hadis riwayat Ibn Majah)

Persoalannya di sini, apakah kaitannya hati yang hitam dan gelap dengan ilmu? Hati yang hitam dan gelap akan menjadi keras. Hati yang keras tidak mampu merasakan manisnya sesebuah ibadah. Hati yang keras dan hitam tidak dapat ditembusi ilmu. Hal ini demikian kerana sifat ilmu itu sendiri umpama cahaya, cahaya mentari yang menerangi alam raya dengan sinarnya yang menyelusuri setiap inci perjalanan manusia. Seseorang pelajar yang kotor dan hitam hatinya sukar menerima apa yang dipelajarinya. Tidak hairanlah, jika kita baca sebanyak dan selama mana pun sesuati ilmu yang dipelajari di sekolah tetapi tidak juga masuk ke dalam memori ingatan dan hati kita. Andai pun kita faham, apakah ada daya dan kekuatan untuk kita mengamalkannya? Bukankah Allah telah berfirman yang bermaksud :

“Sekali-kali tidak! Bahkan mata hati mereka telah diseliputi kekotoran dosa dengan sebab perbuatan kufur dan maksiat yang mereka kerjakan.”
(Surah al-Muthaffifin:14)

Oleh itu, peliharalah hati dengan sebaik mungkin agar tidak menjadi kotor, hitam, dan mati. Hidupkanlah hati dengan  mengingati mati. Gilapkanlah hati dengan zikrullah. Firman Allah bermaksud :

Ketahuilah! Hanya dengan mengingati Allah, hati akan tenang.”
(Surah al-Ra'd, ayat 28)

Momentum Keimanan : Hubungan Baik Dengan Allah

Kehidupan sebagai seorang pelajar dan mahasiswa tidak pernah terlepas daripada kesibukan. Dalam kesibukan menggapai kejayaan, kadang-kadang kita terlupa menjaga hubungan kita dengan Allah. Tidakkah kita ingat menjaga hubungan kita dengan Allah adalah prioriti kita sebagai hamba-Nya?
Oleh itu, kita perlu bijak membahagi dan mengurus masa. Kita perlu memastikan pelajaran tidak terabai, mutabaah amal tidak tunggang langgang, dakwah kampus atau sekolah terlaksana. Persoalannya, bagaimanakah kita perlu mengurus diri kita?

Pertama, perbaharui tekad dan momentum keimanan. Dengan adanya kekuatan iman, kita memiliki harga diri dan maruah hingga kita tidak bisa mengaku kalah dan berputus asa serta berselingkuh di atas jalan kegagalan dan kefuturan. Keimanan yang mantap pasti tidak akan tunduk kepada bisikan-bisikan syaitan yang menginginkan kita atas landasan kegagalan. Di sini, kita boleh melihat fungsi kerohanian dan mantap dalam mencetus kecemerlangan dalam apa jua lapangan yang kita ceburi, tidak kira dalam bidang akademik mahu pun bukan. 

Sesungguhnya, rohani yang suci dan iman yang teguh membakar semangat jihad kita dalam menuntut ilmu, mendorong kita untuk lebih bersabar, memberikan stamina perjuangan yang lebih mantap, melahirkan thabat dan keteguhan hati menjadi lebih sempurna dan akhirnya mendorong kita untuk bangkit kembali kerana Islam. Ketahuilah wahai pelajar, Islam memerlukan kita untuk mengisi ruang kekosongan cerdik pandai dan kebijaksanaan kepimpinan. Justeru, kuncinya mudah. Kebangkitam kekuatan spiritual, kerohanian serta keimanan kita kepada sang Khaliq. Yakinlah dengan janji Allah dalam firman-Nya :

“Jika kalian menolong (agama) Allah, maka Allah pasti akan menolong kalian dan mengukuhkan pijakan kalian”.
 (Surah Muhammad : 7 )

Sentiasa semat dalam diri, siapakah yang mengurniakan kejayaan kepada kita kalau bukan Allah S.W.T.

Peperiksaan Akhir

Akhirul kalam, mulakan perubahan atas desakan iman, dan jangan malu untuk memperbetulkan langkah semangat kita pada paksinya yang sebenar. Iman adalah kekuatan yang menggerakkan setiap mukmin. Iman yang menghadirkan kemenangan pasti akan melonjakan kita untuk sentiasa berfikir dan berfikir untuk bekerja dan bekerja, merangka strategi untuk cemerlang akademik, kebijakan dalam berdakwah dan sentiasa istiqamah dengan program tarbiyah.

“ Sesungguhnya kami Telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya. Kemudian kami kembalikan dia ke tempat yang serendah-rendahnya (neraka), Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh; Maka bagi mereka pahala yang tiada putus-putusnya.”
( At-Tiin: 4-6)

Dalam kesibukan kita bertungkus-lumus dalam menghadapi peperiksaan, ingatlah, kita punya satu lagi peperiksaan akhir yang mana akan menentukan pengakhiran kita. Pengakhiran yang hakiki. Sedarlah bahawa kehidupan duniawi cuma sementara. Dunia ini hanyalah tempat persinggahan yang penuh dengan onak dan ranjau penuh duri. Peperiksaan akhir yang dimaksudkan adalah ketika di Padang Mahsyar kelak. Di sana, seluruh amalan kita akan dinilai. Tiada lagi guru-guru mahu pun pensyarah-pensyarah sebagai pemeriksa. Tiada lagi pengawas peperiksaan. Yang ada cuma bekalan amal kita dan anggota badan kita menjadi saksi atas segala tingkah laku kita semasa di dunia.

Jika kita menduduki peperiksaan, kita pasti akan dimaklumkan jangka masa untuk menjawab soalan. Namun bagaimana pula dengan kehidupan kita? Saat kita hidup adalah satu tempoh. Justeru tempoh itu terselit infiniti ujian. Namun penghujungnya kita sendiri tidak pasti bila tiba waktu akhirnya. Sedarkah kita kehidupan kita sehari-hari adalah dalam pengawasan Allah. Malaikat kiri dan kanan tidak putus mencatat amalan. Kita pastinya bertungkus-lumus memanfaatkan tempoh peperiksaaan. Bersungguh-sungguh tanpa melengah-lengah. Namun bagaimana persediaan kita untuk satu tempoh yang kita tidak tahu? Maka kita kena perlu lebih bersedia kerana pengakhiran kita masih rahsia.

p/s : ini merupakan artikel pertama saya sempena program Perkampungan Wawasan Remaja Islam Sarawak (PEWARIS). Atas saranan kak Shams, saya postkan di sini. Moga bermanfaat.


No comments: