Monday, June 27

menuju ustaziatul alam part 1

Bangunan tersergam indah di kiri dan kanannya. Sofistikated. Nafas ditariknya dalam-dalam. Segar dan bersih. Kelihatan kenderaan sibuk lalu lalang. Kesibukan yang layak dipikul oleh manusia-manusia moden. Namun peliknya, pakaian mereka. Dilihatnya yang majoriti lelaki berjubah dan berserban, ada pula yang berpakaian segak dan berkopiah. Yang wanita pula, semuanya berbusana jubah muslimah dan bertudung labuh litup. Umar menggosok-gosokkan matanya. Seakan tidak percaya. Alam manakah dia? Keadaan sekeliling begitu berbeza dengan keadaan beberapa minit yang lalu. Namun, di hatinya, Umar begitu kagum. Begitu jelas bagaimana Islam sangat dijunjung pada ketika itu.

Umar meneruskan langkahnya. Matanya terus liar memerhati sekeliling. Apa yang menarik perhatian Umar ialah orang-orang di situ saling menyebarkan salam dalam kalangan mereka.

“Dari Abdullah bin Mas’ud ra., ia berkata bahwa Rasulullah saw. bersabda, “As-salam adalah salah satu dari asma Allah yang diletakkan di bumi, maka sebarkan salam di antara kamu.” (HR. Bukhari)

Hadis tersebut spontan daripada mulut Umar. Seingatnya, orang zaman sekarang lebih gemar menggunakan “whats up, bro” “hi sis!” berbanding dengan melafazkan “assalamualaikum” . Tetapi lain pula yang sedang berlaku di depan matanya. Mereka saling mengucapkan salam biarpun mereka tidak mengenali sesama sendiri. Melihat keadaan sekeliling, hati Umar semakin teruja untuk mengetahui dengan lebih lanjut.

Langkah kakinya terus dihayunkan. Semasa berjalan, pandangan matanya tertarik kepada satu papan tanda menuju ke satu “round about”. Jalan Uwais Al-qarni, Jalan Salahuddin Al-ayubi dan Jalan Thoriq bin Ziyad.

“Eh, ni nama semua tokoh-tokoh Islam ni. Subhanallah, negeri manakah ini? Bukankah jalan ni dulu namanya Jalan Bako, Jalan Gersik danJalan Stadium? Ya, aku masih ingat lagi.Umar bermonolog. Masjid Jamek, tempatnya masih tidak berubah. Begitu juga dengan strukturnya. Masih sama. Dari jauh kelihatan seorang anak muda dan dua orang lelaki yang berpakaian segak dengan serban berlilit biru.

”Encik, Encik telah membuang sampah. Kesalahan ini sudah berpuluh tahun tidak dilakukan di sini.” kata salah seorang lelaki yang berpakaian segak kepada anak remaja itu.

”Maaf tuan, saya tidak berniat tuan. Hukumlah saya tuan. Saya tidak sanggup kerana perbuatan saya ini saya jauh dari Allah, tuan...” rayu anak muda itu. Kelihatan air matanya mengalir deras. Air mata kekesalan, fikir Umar.

”Encik, negara-negara yang bernaung di bawah Darul Iman ini sangat mengambil berat soal kebersihan. Kebersihan sebahagian daripada iman. Encik didenda, 100 kali istighfar dan 100 kali selawat.” kata seorang lagi daripada lelaki tersebut.
”MashaAllah, denda apakah itu?” getus hati Umar. Sejuta persoalan berlegar-legar di kotak fikiran Umar. Darul Iman? Sudah puluhan tahun tidak ada yang membuang sampah merata-rata? Apakah maksud ini semua? Bukankah baru semalam dia menegur rakan sekelasnya kerana membuang kulit gula-gula di kelas Biologi? Umar menjadi semakin bingung.

****

Tiba-tiba, tekaknya terasa begitu haus. Perutnya pula berkeroncong minta diisi. Langkah kakinya diteruskan sambil matanya mencari-cari mana-mana kedai makan berhampiran. Setelah puas mencari, akhirnya berjumpa jua. Umar melangkah kaki masuk ke gerai tepi jalan tersebut.
”Maaf tuan, ni pintu masuk untuk muslimah, untuk muslimin di sebelah sana. Andainya tuan bersama isteri dan anak-anak,guna pintu yang satu lagi tu,” tegur pelayan gerai tersebut sambil menunjukkan ke arah pintu di sebelahnya. Umar akur. Di hatinya Umar bermonolog,

”MashaAllah, hati ini semakin kagum. Muslimin dan muslimah diasingkan. Begitu jelas bagaimana negari tersebut begitu menjaga ikhtilat serta martabat wanita. ”

Setibanya di pintu masuk gerai tersebut, tiada meja mahupun kerusi tersedia. Apa yang ada cuma hamparan permaidani hijau di atas lantai. Dilihatnya pelanggan di gerai tersebut semuanya makan berjemaah dengan talam dan duduk di atas lantai. Tidak ada seorang pun yang makan berseorangan.  Merebut pahala makan berjemaah fikirnya. Seingatnya, jarang sekali dia makan berjemaah begitu. Kalau tidak ada daurah, mukhayyam dan apa-apa program tarbiyyah, maka tidaklah dia makan berjemaah. Selalunya dia makan menggunakan pinggan ataupun polisterin.


Setelah memasuki gerai tersebut, seorang lelaki berjubah coklat tua berketayap putih menegurnya dan mengajaknya makan sekali. Tanpa berprasangka, Umar mendekati tempat di mana lelaki tersebut duduk.

p/s : akan bersambung. hehe. mula merangkak buat benda-benda macam ni. idea ni tiba-tiba timbul semasa ISK. APA2PUN, nantikan part two. hehe.

No comments: