Friday, May 14

Doa Si Kecil

Gementar aku
sekeliling pun kelam
malam ini hanya angin,
selebihnya dingin.

Hujan umpama
baru sebentar teduh, dan
kau hanya memberiku
sehelai gebar lusuh.

Di tubir sukmaku
kepedihan seperti merayap
pengakhiran jalanku
kukira telahlah dekat

Kau yang saat ini
seharusnya mendodoiku, ibu
tak terbayang bahawa
akhirnya begini pilihanmu.

Dan, ketika perlahan
kau baringkanku di luar pintu
berulang-ulang kau tahukah
kupanggili namamu.

Aduh, tak upaya
ke sekian kali ini merayu
siapakah sesungguhnya di sini
antara kita yang keliru?

Kalaupun benar lahirku
disempadani kebencian
mengapakah yang berdosa
bukan peradaban!

Kecil amat aku,
namun ingin benar berdoa
Tuhan, jauhi aku dari
segala mara dan petaka.

Sesiapa, datanglah
dan segera membawaku pergi
aku sedang letih, sejuk dan takut
nestapaku tak terperi.

Nukilan oleh, LIM SWEE TIN (Serdang, Selangor)
- Petikan dari Pusi, Sastera Budaya, Mingguan Malaysia, Edisi 9 Mei 2010 -i


No comments: