Monday, May 27

kerna dakwah itu cinta, maka ia menuntut segalanya darimu.

Mungkin ada satu fasa dalam kehidupan seorang daie, dia merasakan himmahnya mulai menurun. Payah untuknya istiqomah meniti jalan yang penuh liku ini. Usrah hanya sekadar rutin. Daurah dihadiri atas dasar 'serba-salah-kalau-tak-hadir'. Liqo' dihadiri sekadar memenuhi jadual. 

Usrah dirasakan kering. 
Tak kira usrah atas atau bawah. 
Usrah atas dia hadiri sekadar rutin.
Usrah bawah dia hadiri sekadar buat. 

Mulai rasa bosan. 
Semangatnya dirasakan kurang momentumnya seperti mula-mula ia bergerak dalam dakwah dan tarbiyah ini. 

Dan saya sendiri pernah merasakannya pada satu ketika dahulu.
Untuk satu tempoh yang saya rasakan mungkin agak lama.

Kenapa itu berlaku?

Ayuh semak balik niat kita. Untuk apa kita lakukan ini? Kenapa kita lakukan ini? Adakah untuk sesuatu yang mudah rapuh ditempuh masa? Jika ya, memang patut pun ia berlaku. 

Kerana Ibnu Qayyim Al-jauziah pernah berkata, 

"Lenyapnya sesuatu, akan lenyap bersama dengan sebab"

Jika sebab kita berbuat adalah sesuatu yang rapuh, mungkin sebab mak usrah suruh, sebab kawan buat, sebab serba salah kalau tak buat nanti apa kawan cakap, memang. Alasan itu cukup cukup rapuh. 

Tapi, jika sebab kita berbuat itu kerana Allah, mana mungkin Allah lenyap? Alasan itu sudah cukup kukuh untuk kita teguh mengharungi denai dakwah ini. 

Niat. Itulah yang paling penting. Jika tidak penting, mengapa Imam Nawawi menyusunnya sebagai hadis yang pertama dalam hadis arbain? 

Kedua, semak juga hubungan dengan Allah kerana ia berkait rapat dengan iman. Allah telah mentakdirkan saya untuk menerima tugasan daripada naqibah saya yang osem untuk membuat dan membentangkan tentang Hadis 21 daripada hadis 40. 

Dari Abu Amr, -ada juga yang mengatakan- : Abu ‘Amrah, Sufyan bin Abdillah Ats Tsaqofi radhiallahuanhu dia berkata, aku berkata : Wahai Rasulullah shollallohu ‘alaihi wa sallam, katakan kepada aku tentang Islam sebuah perkataan yang  tidak  aku tanyakan kepada seorangpun selainmu. Beliau bersabda: Katakanlah: Aku beriman kepada Allah, kemudian berpegang teguhlah .    
(Riwayat Muslim)
Ana begitu terkesan. Apa yang Rasulullah shollallohu ‘alaihi wa sallam ingin sampaikan di sini adalah untuk mendapat tenaga amal yang teguh dan berterusan, seseorang itu haruslah sentiasa memperbaharui imannya. Maka jelas, istiqomah itu adalah buah-buah keimanan. Bilamana iman seseorang itu teguh, maka apa sahaja mehnah dan tribulasi dalam dakwah dan tarbiyah ini tidak akan menyebabkannya berundur mahupun goyah. 
Mana mungkin istiqomah itu wujud tanpa iman yang teguh. Dan mana mungkin iman yang teguh itu wujud jika hatinya penuh noda. Tidak bersih. Lalai dalam mengingati Allah. Kerana istiqomah itu menuntuni jalan yang lurus. Tiada lagi terpedaya mahupun tergoda pada jalan-jalan yang lainnya. Tiada lagi berpaling kepada suka dan nikmat dunia yang hanya sebentar. 
Hati yang bersih itu tidak lalai daripada mengingati Allah. Terus berusaha mengenali Allah. Terus dan terus. Cinta dan pengharapanNya hanya pada Allah. Hati yang bersih itu mengiakan dan menjunjung tinggi kebesaran dan keagungaNya. Dan ia sanggup untuk menyatukan segenap tenaganya untuk menyerahkannya kepada Allah. 
Kerana hati itu raja. Raja segala anggota. Jika ia telah betul dan patuh, maka betul dan patuh jugalah anggota lainnya. 
Kerana itu, iman berkait dengan istiqomah. Dan iman, berkain rapat dengan hati. 
***
Pesanku untuk kamu. 
Melihat adik-adik yang pernah bersama saya hampir dua tahun, paling kurang pun setahun, yang sudah mula bergerak dalam dakwah ini, saya terasa sangat sebak. Sangat malu sendiri. Melihat mereka mengalirkan air mata pada daurah yang lepas, dan berkata, "kak, banyak lagi kerja yang perlu dibuat, berat kak..." hati saya bergetar. Sebak. 

Turut sekali bersyukur. Kerana mereka punya rasa itu. Dan rasa itu saya kira berjaya dipindahkan oleh muwajih daurah itu kepada mereka. Alhamdulillah. 
Adik-adik yang ana sayangi, inshaAllah kerana Allah.
Memang, tugas dakwah ini berat. Allah sudah berfirman dalam surah Muzammil, 

1. Hai orang yang berselimut (Muhammad), 
2. bangunlah (untuk shalat) di malam hari, kecuali sedikit (daripadanya),
3. (yaitu) seperduanya atau kurangilah dari seperdua itu sedikit, 
4. atau lebih dari seperdua itu. Dan bacalah Al-Qur’an itu dengan perlahan-lahan. 
5. Sesungguhnya Kami akan menurunkan kepadamu perkataan yang berat. 
6. Sesungguhnya bangun di waktu malam adalah lebih tepat (untuk khusyuk) dan bacaan di waktu itu lebih berkesan. 
7. Sesungguhnya kamu pada siang hari mempunyai urusan yang panjang (banyak). 
8. Sebutlah nama Rabbmu, dan beribadatlah kepada-Nya dengan penuh ketekunan

9. (Dia-lah) Rabb masyrik dan maghrib, tiada Ilah (yang berhak disembah) melainkan Dia, maka ambillah Dia sebagai pelindung. 
Namun kita berbuat kerana cinta. Bukankah cinta menuntut segalanya daripada kita? Masa, wang, harta, tenaga mahupun jiwa kita. Dan yakinlah Allah telah membelinya dengan syurga. Maka apakah yang lebih besar nikmatnya berbanding syurga Allah?
Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta-benda mereka dengan (balasan), bahawa mereka akan beroleh syurga (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (Balasan syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah didalam (kitab- kitab) Taurat dan Injil, serta Al Quran dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jualbelinya itu dan (ketahuilah bahawa) jualbeli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar.
Surah At-taubah : 111
Berangkatlah kamu, biar berat, biar ringan. Kerana ganjarannya tidak terkira. Doa ana untuk antunna. Moga antunna terus tsabat. 
Pergilah kamu beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah), samada dengan keadaan ringan (dan mudah bergerak) ataupun dengan keadaan berat (disebabkan berbagai-bagai tanggungjawab) dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam). Yang demikian amatlah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui.
Surah Taubah : 41







No comments: