Tuesday, June 26

U-turn Itu Sentiasa Ada

Chorus 'Ketika Cinta Bertasbih' berbunyi menandakan SMS masuk. Lantas Humaira' mencapai telefon bimbitnya yang berada di meja belajarnya. 

"Iman rupanya..." getus hati Humaira'. Lantas dibacanya SMS daripada Iman.

"Assalam ukht. Maaf ganggu. Jika ukhti berkelapangan, boleh kita berjumpa? Ana ada benda nak dibincangkan." 

Ringkas SMS tersebut tapi meninggalkan 1001 persoalan di minda Humaira'. Jarang ukhtinya begini. Cepat-cepat Humaira' membalasnya. 

"InshaAllah bila-bila ana free. Malam ni? Tak pun petang esok?" Humaira' membalas, ringkas. 

"OK, kalau begitu malam ni lepas isya' boleh tak ukhti? Kat tempat biasa, boleh? Maaflah jika macam mendesak sangat bunyinya. huhu." 

"InshaAllah malam ni takde masalah. OK je. Ok, malam ni kita jumpa ye. ^^" Balas Humaira'

*****

Humaira' menoleh kiri, menoleh ke kanan. Akhawat yang dicintainya masih belum menampakkan batang hidungnya. 

"Mungkin dalam perjalanan kot..." getus hati Humaira'. Dia teringat akan satu kata-kata yang lebih kurang begini bunyinya. 

'Tahap ukhuwwah yang paling rendah adalah bersangka baik, manakala yang tertinggi adalah ithar.'

Kata-kata itu sering tersemat kemas dalam ingatannya. 

"Assalamualaikum kak..." sergah Iman sambil mencuit pinggang Humaira'.

"Allah Subhanallah..." automatik kata-kata itu terpacul keluar dari bibir Humaira'. 

"Subhanallah kak. Teringat ana akan kisah Nabi Isa, yang teko itu hanya mengeluarkan isinya..." sakat Iman. [kisah teko, klik sini]

"Eh, enti ni. Suka kan buat ana macam ni kan." bicara Humaira' dengan nada seolah-olah merajuk. 

"Ala, akak ni. Saje je, nak gurau-gurau. Sob sob sob..." Iman berpura-pura mencebikkan mukanya. 

"Alololo. Meh sini, come to mama..." Humaira' pula yang menyakat Iman. Perlahan-lahan Iman merapati Humaira' dan mereka bersalaman sambil berpelukan antara satu sama lain. Seterusnya Humaira' memimpin tangan Iman di satu sudut tempat yang lebih 'privacy'.

********

"Iman, Iman sihat?" Humaira' memulakan bicara.

"Alhamdulillah, dari fizikalnya sihat sahaja kak, tapi..." suasana terus bertukar, daripada suasana yang ceria kepada suasana yang serius. Mata Humaira' memandang tepat kepada mata Iman. Kelihatan mata Iman mula bergenang. 

"tapi, dari segi ruhiyyah nya tidak kak..." Iman menyambung. 

"Iman, kalau ada apa-apa masalah, kalau tak keberatan, ceritakan je kepada akak. Akak sudi mendengar. Apa-apa yang agak mampu bantu, akak akan bantu." balas Humaira' sambil memegang tangan Iman. 

"Akak, mungkin perkara aib untuk ana. Tapi sejak akhir-akhir ini, ana mempunyai satu masalah. Ana kira agak kerap jugaklah berlaku." bicara Iman. Air mata sudah mula menitis menuruni pipinya. 

Humaira' hanya membiarkan Iman berbicara. Tidak berniat untuk menyambungnya. Apabila Iman kembali tenang, dia menyambung bicaranya. 

"Sejak akhir-akhir ini, ana merasakan kehidupan ana kurang teratur. Kerja-kerja dakwah di luar kadang-kadang menuntut masa ana. Adakalanya dirasakan luar kemampuan ana. Tapi, bukan itulah yang ana risaukan." 

"Jadi?" Humaira' menyambung. Ingin tahu apa yang ingin disampaikan oleh ukhtie tercinta.

"Adakalanya, ana tidur jam 2-3 pagi dan itu langsung tidak merisaukan ana. Yang merisaukan ana adalah perihal subuh ana. Kadang-kadang ana terbangun apabila matahari sudah pun terpacak terang benderang. Bukan itu sahaja, sejak akhir-akhir ini usrah sudah tidak ana rasakan 'basah' seperti dahulu. Ana hanya mendengar, tapi tidak sampai ke hati. Ana rasa sangat bersalah, berdosa." Iman menghabiskan kata-katanya.


Humaira' menggenggam erat tangan Iman dengan kedua-dua belah tangannya. Menarik nafas panjang sambil otak ligat menyusun bicara. Dalam hatinya terus-terusan berdoa agar diberi petunjuk oleh Allah s.w.t agar dapat memberikan yang terbaik kepada ukhtinya.

"Ukhtiku sayang. Satu perkara yang ana dan enti sedia tahu adalah betapa Allah itu Maha Pengampun akan dosa-dosa ana dan enti. Maka bertaubatlah walaupun berkali-kali. Ana dan enti tahu, kita sebagai manusia tidak akan pernah lari dari melakukan sebarang dosa. Akan tetapi, itu tidak menjadi 'greenlight' untuk kita melakukan dosa. Namun begitu wahai ukhtiku, janganlah enti jadikan kesalahan itu untuk enti berputus harap kepada Allah S.W.T.."

Humaira' menghabiskan tutur katanya dengan sepotong ayat Al-quran.


Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :

“Katakanlah : Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan maksiat),  janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa, sesungguhnya Dialah jua yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.” [Surah Az-zumar : 53]

"Tapi akak, bukankah itu seperti mempermain-mainkan Allah?" Iman bertanya. Tangisannya sudah mulai surut. 
"Ukhtie Iman, kita ini manusia. Ada titik kuat, ada titik lemahnya. Dan dalam diri kita itu ada dua tarikan yang hebat menarik antara satu sama lain. Tarikan itu adalah tarikan keimanan dan tarikan syaitan." 
"Macam dalam buku Muntalaq je kak?" Iman menyampuk. 
Humaira' hanya mengangguk, lalu menyambung tutur bicaranya.
"Dan iman itu pula bukan statik. Ada naik turunnya. Bila masa iman kita menaik, bermacam-macam kebaikan yang bisa kita buat. Qiamullail, tilawah al-Quran lebih kerap daripada biasa. Tapi apabila satu saat kita lemah, nak buat satu kebaikan pun dirasakan begitu payah."
"Setuju kak." sekali lagi Iman menyampuk. 
"Pada saat iman kita menurun itulah mudah benar kita mendengar bisikan-bisikan syaitan dan akhirnya jatuh ke kancah maksiat. Tapi jauh di sudut hati kita, iman kita yang senipis kulit bawang ini meronta, tidak redha dengan maksiat yang kita lakukan. Maka kita mulai sedar dan beristighfar, bangkit semula dan bertaubat. Tetapi, seringkali jiwa kita kalah dengan godaan-godaan dunia menyebabkan kita tidak mampu melawan dan akhirnya kita terjatuh sekali lagi ke dalam lubang kebinasaan." Humaira' berhenti, menarik nafas dan menyambung semula. 
"Rahmat Allah itu terlalu luas. Akak teringat satu hadis. Erm, kejap ye. Akak ada letak dalam phone akak." Humaira' membuka tas tangannya dan mencapai telefon bimbitnya.
"erm, kat mana ea? Jap ye. Haa. Jumpa pun. Akak baca ye..."
Seorang telah melakukan satu dosa, lalu dia berkata: Wahai Tuhanku ampunilah dosaku. Lalu Allah azza wa jalla berfirman: Hamba-Ku melakukan dosa dan dia mengetahui bahawa baginya Tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya – dalam riwayat yang lain ditambah: Aku ampunkan dosanya. Kemudian dia kembali melakukan dosa yang lain, dia berkata: Wahai Tuhanku aku telah melakukan dosa ampunilah dosaku. Lalu Allah berfirman: Hamba-Ku melakukan dan dia mengetahui bahawa baginya Tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya-dalam riwayat yang lain ditambah: Aku ampunkan dosanya. Lalu dia melakukan dosa sekali lagi, dia berkata: Wahai Tuhanku aku telah melakukan dosa ampunilah dosaku. Lalu Allah berfirman: Hamba-Ku melakukan dan dia mengetahui bahawa baginya tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya, maka aku ampunkan hamba-Ku ini, buatlah apa yang kau mahu Aku ampunkan engkau. 
[Riwayat al-Bukhari dan Muslim]

"Allahu rabbi." Iman berbicara. Kali ini, air matanya mengalir semula. Tersentuh dengan hadis yang dibacakan oleh kakaknya itu. 

"Akan tetapi, dengan sifat pengampun Allah s.w.t ini, tidak bermakna kita bisa mempermainkan Allah. Sebagai contoh, 'alah, buat lah dulu benda (maksiat) ni. lepas ni boleh taubat. Allah kan Maha Pengampun'. Tidak! Itu mempermainkan Allah namanya.”

"Akak, bagaimana pula dengan soal bangun Subuh ana ni kak?" tanya Iman. 
"Jangan risau, ukhtiku sayang. Bersyukurlah kerana dalam hati enti masih punya rasa bersalah. Tanda masih ada secebis iman dalam hati. Alhamdulillah. Untuk perihal bangun subuh, sebelum tidur, ambillah wudhu' seolah-olah itulah wudhu' yang terakhir. Buatlah solat sunat taubat. Selain itu, gunalah alat bantuan seperti handphone, buatlah seberapa banyak alarm sekalipun, tukar-tukarlah bunyi alarm agar tidak 'immune'. Minta tolong daripada sahabat untuk kejutkan pagi-pagi. Dan yang paling penting, berdoalah agar Allah mengejutkan enti pada keesokkan harinya. Merintihlah padanya, bahawa malam enti tak dihabiskan dengan perkara sia-sia, tak dihabiskan dengan menonton wayang, bergayut dengan pakwe, mohonlah dengan rahmatNya yang luas, supaya Dia mengirimkan malaikatNya untuk mengejutkan enti pada esok harinya. Yakinlah, inshaAllah, dua jam tidur itu akan lebih menyegarkan." jelas Humaira' panjang lebar.

“Allahu kak. Kenikmatan berganda hari ni kak. Setelah sekian lama usrah tidak dirasakan basah, air mata dirasakan kering. Alhamdulillah, jazakumullahu khairan katseeran atas nasihatnya,kak. Mudah-mudahan lepas ni tidak lagi subuh gajah. Huhu. Moga-moga Allah memberikan taufiq dan hidayahnya kepada kita.”

“Bersyukurlah wahai ukhtiku. Ini sebenarnya Allah sayang. Dia uji dan terus uji ukhtie. Setiap orang ujiannya pelbagai." lembut tutur bicara Humaira'. 

"InshaAllah, ukhtie. Jazakumullahu khairan katseeran atas segala nasihat yang diberikan selama ni. Ini buat makin sayang nih. Uhibbuki fillah, ya ukhtie." bicara Iman sambil meletakkan kepalanya ke atas bahu Humaira'

"Uhibbuki fillah abadan abadan." 



Perbicaraan mereka terhenti di situ. Masing-masing bersalam-salaman dan memohon untuk mengundur diri. Indahnya berada di jalan dakwah tarbiyyah adalah sahabat yang saling kuat menguatkan, saling melengkapi dan saling tampung menampung antara satu sama lain. Dan sememangnya ujian itu biasa dalam kehidupan, untuk melihatkan siapa yang benar-benar dan bersungguh-sungguh untuk mencari redhaNya dan mengejar cintaNya! 


p/s : hobi ana masa lapang ^^ menulis cerpen. moga bermanfaat. btw, ana rasa sangat gembira setelah mendapat berita gembira dari ukhti dari bumi Semenanjung. Moga terus sukses ya, ukhti! Moga DnT terus gencar di sana! 

No comments: