Fateh memerhatikan patung Naruto yang tersimpan rapi di atas meja belajar itu. Patung Naruto itu menyimpan seribu satu kenangan dan lantas membawa kotak memorinya melayang jauh. Jauh merentas masa. Fateh tersenyum sendirian. Senyumnya segaris. Seolah-olah ada sesuatu yang mencuit hatinya. Mana tidaknya, itulah hadiah darinya.
Ingat lagi bagaimana respons pemilik patung tersebut semasa menerima hadiah tersebut. Melompat-lompat, tak ubah seperti anak kecil. Bayangkan saja, seorang wanita berwajah ayu, bertudung labuh dan jubah melitupi tubuhnya, melompat-lompat seperti anak kecil mendapat gula-gula. Kelakar kan?
*sekadar hiasan*
Itulah isterinya, pantang berjumpa dengan kartun Naruto, seolah-olah tak ingat orang kiri kanan. Isterinya merupakan pelajar tahun akhir jurusan Bioteknologi di Universiti Malaysia Sarawak. Fateh berasa sangat bertuah kerana pemilik patung tersebut kini menjadi teman hidupnya. Merangkap sayap kiri perjuangannya. Dengan adanya pemilik patung itu sebagai peneman hidupnya, dia menjadi kuat dan bersemangat, malah kerja dakwah dan tarbiyyahnya semakin berjalan lancar, makan minum serta pakaiannya turut terjaga.
Tidak semena-mena, dunianya tiba-tiba menjadi gelap. Bukan kerana dirinya pengsan, mahupun buta. Bukan jua kerana terputus bekalan elektrik, tetapi matanya ditutup dengan sesuatu yang lembut, harum lagi halus.
“Apa yang abang sengihkan tu? Ni mesti ingat perempuan lain ni..” suara itu sangat dia kenali. Suara wanita yang halus, mulus kedengaran. Lantas Fateh memegang tangan wanita yang menutup matanya dan dialihkan perlahan-lahan. Akhirnya dunia menjadi terang semula.
“A’ah..perempuan tu lawa sangat. Cantik…lemah lembut…sopan santun…” jawab Fateh selamba, mengusik. Meniru gaya anak kecil dalam cerita Syurga Cinta.
“Ye lah. Siapalah kita ni kan…” Masyitah menjawab. Nada merajuk. Mulutnya menarik muncung.
Fateh memusingkan badannya. Menghadap Masyitah yang sedang memuncungkan bibirnya.
“Itah, tak baik muncung-muncung, nanti dapat anak macam tikus kang….” usik Fateh sambil mencubit kedua-dua belah pipi gebu isterinya.
Mulutnya yang muncung bertukar menjadi pecah tawa. Geli hati dengan gurauan selamba suaminya yang tercinta. Muhammad Al-fateh. Satu-satunya lelaki bukan mahram yang menjadi penakluk hatinya setelah Allah dan Rasul.
“Itah, sebenarnya perempuan lawa lagi solehah yang abang maksudkan ialah Itah lah. Itah lah satu-satunya wanita cantik yang abang sayangi. Biar secantik mana pun wanita yang ada di dunia ni, Itah tetap di hati abang. Tak percaya, ambillah pisau, belahlah dada…”kata Fateh sambil meletakkan tangan Masyitah di atas dadanya.
“Eleh...matilah abang nanti…” Usik Masyitah sambil memukul manja bahu suaminya. Satu-satunya lelaki bukan mahram yang halal disentuhnya.
Kedua-duanya ketawa. Mereka sangat bahagia. Usia mahligai cinta mereka yang didirikan atas dasar iman dan taqwa kepada Allah kini mencecah usia tiga bulan. Hari-hari yang mendatang mereka tempuhi bersama. Semuanya dilakukan dengan bersama. Bahagia.
No comments:
Post a Comment