Friday, August 24

Ukhuwwah Indah.

Persaudaraan itu sendinya kasih dan cinta, 
Dengannya hati ini merasakan manisnya sebuah ukhuwwah,
Ia bukan satu retorik semata-mata,
Apabila mengingatkan persaudaraan antara Muhajirin dan Ansar,
Yang rela tanpa paksa,
Berkorban harta, jiwa dan raga,
Untuk sang saudara.



Bukankah itu manisnya sebuah ukhuwwah, 
ukhuwwah yang berpaksikan akidah,
yang bukan pemisah,
Ia penghubung yang jauh. 

Jiwa akan merasa bahagia,
menjalin ukhuwwah atas keimanan padaNya,
yang hubungannya bukan biasa-biasa.

Kau akan merasa, 
Natijahnya luar biasa,
andai kekuatan iman mendominasi jiwa.

Tak percaya?
Biarlah kisah Rasulullah dan para sahabat bercerita,
Saling mencinta kerana Yang Maha Esa, 
Kerna cinta sanggup mengorbankan apa yang ada,
Berkongsi suka, berkongsi duka.

Ukhuwwah itulah yang membawa Islam ke puncak dunia, 
hingga seruannya mewangi ke serata buana,
Apa kau masih kata ukhuwwah itu hanya biasa biasa saja?

Ukhuwwah itu bukan disemai atas cinta tiada hala,
tapi atas keyakinan Allah Ghayatuna. 



Ukhuwwah itu satu ikatan,
Simpulan hati-hati yang kuat menghubungkan,
Terbina atas dasar keimanan,
buat hati yang mengharapkan keredhaan. 
^^

UKHUWWAH TERAS KEGEMILANGAN :)

kutulissebabkurindumereka. 
Miri, Sarawak.
2.05 a.m






Thursday, August 16

Ibarat RnR

hakikatnya Ramadhan itu akan terus berlalu, 
walau seberat mana pun hati kita untuk merelakan ia pergi.

Ramadhan itu tempat berteduh, mencari bekal. 
mengutip mutiara-mutiara taqwa [QS 2:183]
buat bekalan si musafir dan perisai si pejuang

perjalanan masih panjang,
adakah kita mencari bekal sebanyak-banyaknya,
atau hanya membiarkan ia berlalu bak angin lalu?

sedang selepas Ramadhan itu, 
masih ada kehidupan.
yang mehnahnya lebih mencabar
yang ujiannya lebih menduga iman

maka,
benamkanlah didikan madrasah Ramadhan di dasar hati. 
dan terjemahkanlah ia dengan amal

manifestasi taqwa itu,
adalah dengan melalui kehidupan,
bukan dengan melalui Ramadhan semata-mata.

Ingatlah wahai diri,
Andai Ramadhan berlalu pergi,  
Apakah telah tiada RabbMu?


[Ramadhan itu teduhan mencari bekal. Maka siapakah yang benar-benar memanfaatkannya?]

P.S : Ramadhan berlalu pergi. Syawal bakal menjelang. Bahang Hari Raya Aidilfitri hangat terasa. 
Aidilfitri bermaksud perayaan fitrah. Untuk orang yang kembali kepada fitrah. Di mana untuk orang yang benar benar menyempurnakan ramadhan sebaikbaiknya. Mensucikan diri dan mengembalikan diri kepada fitrah. Fitrah seorang insan itu adalah kembali kepada penciptaNya. 
Persoalannya, layakkah kita nak berhari raya? Ibarat orang sibuk sibuk nak pergi graduate di majlis konvo, sedang ijazah pun tiada. huhuhuhuhu.

tidak mengapa jangan bersedih.
Masih belum terlambat. Sedang Rasulullah shallallahu 'alayhi wa sallam suruh andai esok nak kiamat pun, andai ada benih kat tangan, maka tanamkanlah.

Biar masih berbaki 2 hari, manfaatkanlah sebaiknya. Sungguh, rahmat Allah itu luas. Ruang dan peluangnya masih terbuka luas! 

P.S.S : Takkan kita tergamak nak membocorkan 'tupperware' taqwa kita pada bulan-bulan lain kan? Maka, kekalkan momentum kita. ^^ 

Wallahu 'alam.



Thursday, August 2

simbolika logam dan si penempa

logam itu, 
tidak ditempa, 
sia-sia. 

sebelum menjadi berharga,
bukan dengan duduk bersenang dan berpangku tangan.

takkan berharga tanpa satu perjalanan.
perjalanan yang rumit dan sukar.
perlu masa yang panjang, perlu pengorbanan.

Mungkin,
Kau akan merasa kepenatan, kelelahan, kesukaran.
Tubuhmu dihidangi bahang panas dan debu, 
disimbahi peluh dan darah,
berselang seli.

Wahai si penempa logam!
Bersabarlah, berkorbanlah!
Sebelum kau melihat hasilnya.

[ sebelum logam jadi pagar, ia perlu proses, tak gitu? ;) ]

***

“Manusia seperti logam, terpilihnya mereka semasa jahiliyyah terpilih juga mereka semasa Islam, sekiranya mereka faham” [HR Bukhari]

Sayang jika logam itu tidak ditempa, 
Sayang lagi jika potensi itu andai tidak digunakan untuk manfaat Islam. 
Allahu 'alam.

p/s : Saiyyidina Umar itu berani, digeruni. Sebelum memeluk Islam, sifat berani beliau digunakan untuk jahiliyyah, menentang Islam. Selepas memeluk Islam, sifat berani beliau disalurkan ke jalan dakwah, untuk Islam. 

Kita? 
Ya, kita juga punya potensi,
Maka asahkan.
Dan serlahkan.
Untuk Islam.

Jika semua orang menyerlahkan potensi untuk Islam, 
meruntuhkan jahiliyyah dan menegakkan Islam dalam diri,
pasti Islam kembali gemilang! Allahu Akbar!

Wallahu 'alam.