Assalamualaikum wbt.
Agak lama tak mencorak tinta di sini. Sibuk? Bukan aula’? Atau itu alasan cuma? Apapun, Teringin nak berkongsi serba sedikit tentang apa yang berlaku pada minggu minggu yang lepas. Ia berbentuk lebih kepada cerita, maka, bertahanlah ye.
12 Januari 2014
Petangnya dengar khabar dari murabbiyah arwah, bahawa arwah hilang. Belum merasakan kerisauan sehinggalah membaca post dari Hemnaarth di wall group biotech. Eh, macam kenal? Atiq. Hati mula risau. Persediaan untuk peperiksaan esok hari mula diletakkan ke tepi. Malamnya, lepas maghrib akhwat Baiturrabiah terus mengerjakan solat hajat meminta perlindungan daripada Allah supaya melindungi beliau. Akhwat yang duduk di dalam pulak mengusahakan utk mencari beliau dengan cara perubatan Islam. Kami di luar pula menggencarkan penyebaran poster di media sosial.
Selepas menghantar akhwat yang menggunakan kereta aku kat dalam unimas, aku mengambil keputusan untuk melilau-lilau mencari. Oleh kerana sendirian, aku hanya sekadar berada di dalam kereta. Kolej TAZ, Kolej Cempaka, laluan tempat arwah ditemui dan akhirnya ke kampus timur, aku lalui. Dengan harapan, kot kot lah jumpa beliau di tepi tepi jalan. Namun hampa.
Malam tu sangat tak tenang. Aku langsung tak boleh nak belajar untuk exam keesokan harinya. Dalam hati, tak henti henti berdoa pada Allah, supaya Allah melindungi arwah. Malam tu, kalah dengan emosi, menangis dan akhirnya tidur tanpa baca sedikitpun untuk exam keesokan harinya.
13 Januari 2014
Bangun pagi, gusar belum hilang. Aku memohon benar-benar padaNya, agar diberikan ketenangan hati dan keberkatan waktu. Kerana waktu begitu singkat untuk aku mengulang kaji perkara yang dipelajari satu semester. Aku cuba menggunakan sisa 2-3 jam yang ada untuk fokus membaca semua nota-nota yang ada. Aku memilih milih bahagian mana yang aku rasakan masuk, untuk difokus betul betul.Dan subhanallah, aku merasakan begitu mudah sekali untuk mengingat. Sesungguhnya, inilah bantuan Allah, dan tanpa bantuanNya, aku pasti tak mampu nak ingat secepat itu. Di dewan exam, aku dah bernekad, selepas sejam, aku perlu keluar. Sebab aku perlu mencari arwah.
Dan subhanallah, sekali lagi bantuan Allah datang. Segala apa yang aku baca 2-3 jam sebelum exam, itulah yang masuk. Dan seolah-olah aku boleh membayangkan slide-slide tersebut tanpa sedikit ayat pun yang tertinggal. Alhamdulillah. Dan aku jadi malu. Rasa begitu tak layak utk dapat pertolongan Allah, tapi Dia masih lagi mahu menolong hambaNya yang banyak dosa ni. Huhu. Selepas sejam, aku terus keluar daripada dewan. Aku terus bergerak ke cempaka. Pada hari itu kami mencari di banyak tempat. Cempaka, Kompleks Sukan, Pusat Islam, laluan belakang allamanda dan kembali ke TAZ. Namun, sekali lagi hampa.
14 Januari 2014.
Paginya ada meeting. Selepas meeting, kami mengambil keputusan untuk terus mencari. Aku melilau-lilau di sekitar kolej TAZ, cempaka dan akhirnya di Pusat Islam. Di Pusat Islam, setiap ceruk dan sudut yang ada diperiksa. Setiap bilik tandas, pejabat, ruang solat, hutan, atas tangki air, bawah, semuanya. Kerana pada waktu itu, dalam hati tersemat satu keyakinan yang sangat tinggi bahawa hari ini Atiq pasti akan dijumpai dan Pusat Islam adalah titik pertemuannya. Tengah aku mendaki atas tangki air, tiba-tiba orang-orang Jabatan Pertahanan Awam mendekati kami. Pada awalnya aku ingat mereka nak marah aku yang mendaki atas tangki tersebut. Yalah, bahaya kan? Rupanya telahan kami salah. Mereka ingin menumpang kereta utk ke suatu tempat, di mana dikatakan ada mayat dijumpai. Jantungku serasa nak terhenti. Mayat dijumpai? Atiq kah? Aku cepat-cepat membawa mereka ke tempat itu. Kalau boleh, pedal minyak nak ditekan sehabisnya, segala bonggol nak diredah begitu sahaja.
Tiba di tempat kejadian. Aku terpana. Setengah percaya setengah tidak. Itu yang aku rasa. Mataku masih terpacak pada jasad yang timbul dalam anak sungai di UNIMAS. Kaki ku menggeletar. Dalam hati melawan rasa-rasa yang timbul. Mulut tak henti-henti istighfar, sekali sekala berbicara, “oh itu bukan dia. Tak mungkin dia, sebab dia macam ini ini ini, tapi yang ini macam itu itu itu…” Macam-macam. Antara untuk bersangka baik pada Allah atau untuk menidakkan, aku sendiri tidak faham emosi aku pada waktu itu. Namun akhirnya, aku terduduk di ruang belakang kereta, dan tanpa mampu ditahan-tahan lagi, air mata aku jatuh bercucuran. Menangis semahunya. Kemudian datang classmate aku, Anees Darman, memelukku dan memujukku.
“Jasmin tak boleh macam ni. Allah dah takdirkan macamni, Jasmin kena banyak-banyak sabar, kena kuat. Dah, jangan nangis-nangis lagi.”
Ayatnya simple. Menenangkan, dan sedikit sebanyak membantu aku untuk mengawal emosi yang dah tak berapa nak stabil. Dan juga mengingatkan aku bahawa segalanya telah ditakdirkan oleh Allah. Terima kasih anees.
Nak dipendekkan cerita, jenazah itu telah disahkan dan ya, itu adalah Atiq. Dan hari seterusnya, jam 4 petang setelah dimandikan, dikafankan dan disembahyangkan, beliau diterbangkan balik ke Penang.
Aku rasa antara percaya atau tidak. Belajar dan masih bertatih untuk redha akan ketentuan Allah. Peristiwa perginya seorang akhwat ini, aku kira sangat merobekkan hati-hati insan di sekelilingku. Mungkin juga peristiwa yang membangkitkan jiwa yang tidur dan mengetuk hati-hati yang sedang lalai, bahawa kita suatu hari pasti akan pergi menghadap Ilahi. Tak kira siapa, di mana ataupun bila.
Persoalannya, cukupkah bekalan? Dan bila ditakdirkan Allah mematikan kita sekarang, apakah amalan yang kita buat itu sudah melayakkan kita untuk mendapatkan rahmat Allah dan akhirnya dengan rahmat Allah itu kita ke syurga?
Namun, kita sedar, tapi masih lagi lalai.
Benarlah kalamNya,
"Telah hampir kepada manusia(masa) perhitungannya sedang mereka berpaling dari kelalaian. Tiada kepada mereka peringatan (Al-Qur'an) dari Tuhannya melainkan mereka dengar dan mereka permain-mainkan. Sedang hati mereka lalai.." (al-anbiya':1-3)
Sungguh, peristiwa itu sangat terkesan bagi aku. Even sampai sekarang sekalipun. Ada-ada sahaja memori bersama, tanpa diminta pop out dalam minda. Mungkin sebab arwah selalu bertandang ke rumah, selalu ambil arwah untuk ke program tarbiah, pernah pinjam kereta, selalu borak dengan arwah di media sosial, selalu buli arwah, selalu share buku yang dibaca sebab arwah ni suka membaca.
Boleh dikatakan, setiap sudut tu mengingatkan aku pada beliau.
Apapun, berani aku katakan, matinya menghidupkan. Walaupun serasa aku dibenamkan nun jauh ke bawah dek kerana peristiwa ini, tapi aku merasakan ia sedikit sebanyak merawat hati yang selama ini sedang sakit. Seolah dirasai semula kemanisan ibadah dan iman itu.
Atiq, sesungguhnya Allah sayangkan kamu. Sebab tu Dia ambil kamu dalam langkah kamu bermujahadah menuju ke arahNya. Subhanallah. Kamu telah bertemu pencipta kita, dan aku pula bila? Kamu telah melakarkan jalan pulang kamu, dan aku pula bagaimana? Atiq, kat dunia, kita pernah bercipiki cipika, berborak, bergurau senda. Dan ketahuilah aku sangat merindukan kamu, Dan moga-moga di akhirat nanti Allah izin kita bercipiki cipika semula, berpelukan semula. Mungkin masa tu akak dah tinggi sikit kot, tak perlu la Atiq sakit belakang tunduk ye ?hehe. Tunggu akak atiq!
Dan moga ia menjadi sesuatu yang menggerakkan amal-amal kita dan membawa kita memacu lebih laju dalam dakwah dan tarbiah. Atiq, Allah dah rehatkan kamu, dan kami ini masih lagi berhempas pulas untuk menuju kerehatan yang sebenar itu.
Allah, terima kasih atas pinjamanMu ini. Walaupun pertemuannya begitu singkat, tapi aku sangat bersyukur diperkenalkan dengan insan yang begitu komited mendamba redhaMu. Dan ya Allah, aku tahu, Kau ingin sedarkan kami, tiada yang kekal di dunia ini. Dan yang kekalnya adalah akhirat yang abadi. Dan mudah-mudahan Alllah matikan kita dalam khusnul khotimah. InshaAllah.