"Alhamdulillah, akhirnya selesai jugak." Masyitah berbisik sambil menghelakan lafaz. Tenang terasa apabila telah selesai menjawab soalan peperiksaan Plant and Animal Biotechnology. Dia menghayunkan langkah kakinya keluar daripada Bilik Seminar 1, CTF 1. Tangga CTF 1 yang tinggi itu dituruninya satu persatu. Terdetik dalam hatinya untuk melawat Aisyah, akhowat yang ditarbiyah bersama-samanya.
***
'Tok, tok, tok!" pintu bilik Aisyah diketuk.
"Assalamualaikum. Aisyah, oh Aisyah." Pintu diketuk, salam diberi. Namun tidak berjawab. Sekali lagi pintu bilik Aisyah diketuk dan salam diberi. Tetap sama. Tidak berjawab. Lantas dia mencapai telefon bimbit yang tersimpan di dalam beg tangannya. Nombor telefon Aisyah dicari dan butang dail ditekan.
'Eh, mana Aisyah ni? Di'call' tak diangkat, diberi salam tak jawab. Tapi pintu tak dikunci. Tidur ke?'getus hati Masyitah. Terselit dengan nada bebelan.
Maka, pintu bilik itu dikuaknya. Kelihatan Aisyah sedang khusyuk di hadapan laptopnya. Matanya fokus ke arah skrin desktop manakala telinganya disumbat dengan beats berwarna hitam.
"Aisyah. Aisyah..khusyuk sangat sampai kita bagi salam, call, masuk bilik pun dia tak sedar. Kalau pencuri masuk ni, habislah." Masyitah membebel. Namun yang pasti bebelan Masyitah tidak kedengaran oleh Aisyah. Masyitah menggeleng-gelengkan kepalanya. Aisyah dihampirinya perlahan-lahan.
"Hamboi! Khusyuknya dia..." Masyitah menyergah.
"Oo Minho Oppa!" Aisyah sedikit melompat. Nama artis Korea kesukaannya terpacul keluar daripada bibirnya.
Masyitah tersenyum. Geli hati dalam geram.
"Hisyhhh. Hang ni! Agak-agak la. Ketuk pintu pun dak, bagi salam pun dak. Masuk-masuk je main sergah-sergah macam ni." marah Aisyah dalam loghat Kedahnya yang memekat.
"Salam apekebendanya lagi. Aku bagi salam sebelah telinga kau pun kau tak dengar! Khusyuk benar!"
Wajah Aisyah mencuka. Dia memalingkan wajahnya ke arah laptopnya semula. Drama Korea City Hunter ditontonnya. Manakala Masyitah pula menggelengkan kepala. Geram. Terbit rasa tak puas hati dalam hatinya. Ada ke patut, akhowat yang ditarbiyah bersikap sedemikian rupa. Siang malam korea korea korea. Malam jadi burung hantu kerana tengok korea. Pagi membuta. Korea, Anime. Sampai tertangguh segala kerja.
'aku dulu macam tu jugak. Tengok je cerita korea segala bagai tu. Boys of Flowers, Full House aku tengok semua. Tapi aku dah buang dah jauh jauh. Dah lama ikut usrah, ditarbiyah, takkan tak faham-faham lagi kot.' getus hati Masyitah.
Aisyah masih lagi khusyuk menatap cerita City Hunter yang terpapar pada skrin laptopnya. Sekejap tersengih, sekejap gelak, sekejap oppa oppa. Masyitah semakin hilang sabar.
"Sampai bila kau nak tengok cerita-cerita ni semua. Jahiliyyah. Buang masa. Sia-sia!" suara Masyitah meninggi.
Aisyah malas hendak melayan Masyitah. Dia terus khusyuk dengan cerita koreanya. Masyitah semakin hilang sabar.
"Aisyah, kau dengar tak ni? Beginikah sifat orang yang ditarbiyah? Katanya nak Islam bangkit. Nak jahiliyyah di sekililing runtuh. Tapi, macam mana kau nak runtuhkan jahiliyah kat sekeliling kau jika jahiliyah dalam diri kau tak diruntuhkan terlebih dahulu?" Masyitah menghamburkan kata-katanya. Disokong dengan bermacam-macam dalil yang keluar daripada mulutnya.
"Ala, nak buang jahiliyah kat sekeliling ni, kenalah kenal dulu apa jahiliyah yang ada. Ni, aku tengah buat kerja lah ni. Nak kenal apa tu jahiliyah." Aisyah bersahaja. Malas hendak bertengkar.
"Astaghfirullahal 'azim. Orang nasihat betul-betul dia jawab main-main pulak. Nak kenal jahiliyah konon. Kenal ke larut? Haa, hari ni, Dah tilawah ke belum?" soal Masyitah.
"Dah tadi. Sebelum tengok cerita aku ada baca." jawab Aisyah. Ringkas.
"Berapa muka surat?" soal Masyitah.
"Satu."
"Kau baca Al-quran tak sampai pun lima minit tapi tengok ni berjam-jam tahan. Malam kau jadi kelawar. Tak tidur tengok cerita korea. Nanti cakap tiada masa untuk siapkan assignment." Sengaja Masyitah menyebutkan perihal assignment. Minggu lepas Aisyah dimarahi pensyarahnya di hadapan kelas gara-gara tidak menyiapkan assignment. Alasan Aisyah, tak ingat sebab terlampau sibuk.
"Ala kau ni. Rileks la. Hujung minggu kot. Aku nak rehat-rehat takkan tak boleh? Bising lah kau ni." Aisyah sudah mula rimas. Keadaan mula tegang.
"Kalau ye pun nak rehat, takkan nak bergelumang dengan jahiliyyah ni?"
"Ye la ye la. Aku stop sekarang. Dah? Puas hati? Dah, aku nak ke tandas kejap. Sakit perut aku dengar hang membebel." Aisyah menjawab, sambil menghayunkan langkah kakinya menuju ke tandas.
Masyitah menggeleng-gelengkan kepalanya. Ditatapnya skrin laptop Aisyah. Dilihatnya folder yang bertajuk, 'My Passion'. Bisikan-bisikan jahat mula mencucuk dirinya untuk meninjau-ninjau laptop Aisyah. Dikliknya folder tersebut. Terpapar sub-sub folder tajuk-tajuk cerita korea. Tanpa berfikir panjang, Masyitah menekan butang 'delete'. Dan dia turut mengosongkan 'recycle bin' laptop Aisyah.
Masyitah tersenyum. Puas. Lalu dia meninggalkan bilik tersebut.
****
Seminggu kemudian...
Masyitah berjalan menuju ke Student Pavilion. Niat di hati untuk membeli makanan.
"Assalamualaikum, Masyitah." suara yang sangat dikenalinya menyusup ke gegendang telinganya. Dia menoleh. Memang betul, suara murabbiyahnya. Murabbiyahnya berusia hanya setahun lebih berusia daripadanya, namun itu bukanlah kayu ukur yang perlu dilihat oleh mereka yang dahagakan tarbiyyah.
"Waalaikumussalam, kak. Nak pergi mana ni?" tanya Masyitah.
"Nak ke Pavi jap. Nak beli makanan. Masyitah?"
"Sama. Jom lah akak. Kita makan sama? Ana belanja." kata Masyitah.
"Wah. Langkah kanan hari ni. Takpe, biar akak je yang belanja. Jom."
***
Di Pavi.
"Ukhti, tadi jumpa tak tanya khabar pun. Ukhti sihat? Iman sihat?" murabbiyahnya bertanya.
"Alhamdulillah. Fizikalnya sihat. Iman, biasalah, turun naik. Mudah-mudahan banyak naiknya daripada turun." Masyitah menjawab sambil mengacau air teh c special yang baru ditempahnya.
"Haa. Tahu tak, yang ahli halaqah enti nak keluar daripada halaqah ni. Tak tahan katanya."
"Siapa kak?"
"Aisyah."
"Astaghfirullah. Apa aku dah buat?" monolog Masyitah.
"Kenapa ni ukhti? Macam muka bersalah semacam je ni." murabbiyahnya bijak mengagak. Itulah dinamakan sebagai kehalusan perasaan. Boleh merasakan apa yang dirasakan orang lain.
Dengan suara yang lemah, Masyitah menceritakan apa yang telah berlaku antara dirinya dan Aisyah tempoh hari.
"Ukhti, niat enti untuk menegur tu memang baik. Tetapi caranya kurang berhikmah dan maafkan ana, ia tidak tepat."
"Ana fikirkan yang ana boleh tinggalkan semua jahiliyah-jahiliyah tu, kenapa dia tak boleh? Itu yang ana tegur dia habis-habisan, buang semua movie korea dia. Biar dia tak sentuh lagi benda-benda tu semua."
"Kita tak boleh menganggap semua orang sama dengan diri kita. Setiap orang penerimaannya berbeza. Kita kena bijak mengadaptasi suasana. Kesilapannya memang perlu ditegur, tetapi perlulah dengan cara yang lebih tepat."
"Ana pun rasa macam tu. Silap ana tegur terlampau keras."
Dan enti kena fikir, cuba bayangkan, mungkin dia dah bertahun-tahun bergelumang dengan jahiliyyah tu. Maka, kita tak boleh nak expect dia boleh berubah dalam masa yang singkat. Ingat ukhti, dalam berdakwah ni, kena berseni. Kena faham mad'u kita.
Murabbiyahnya menyambung lagi.
"Dan sebenarnya, enti tidak perlu menyusahkan diri mengubah dia sekeras itu. Cukup tugas enti dengan melaporkannya kepada ana, murobbiyahnya. Di dalam halaqoh ana akan berikan pemahaman yang sesuai kepadanya. Di dalam halaqoh, itu saat yang terbaik untuk menegur, kerana di saat itu seseorang memang bersedia untuk mendengar dan membuka mindanya. Kalau enti paksakan dia mendengar ketika dia sedang seronok tengok movie Korea, tentu dia tidak akan mengambil pengajaran sama sekali."
"Afwan ukhti, ana khilaf. Ana tak tahu berdakwah dengan berhikmah."
"Tidak mengapa. Ini pengajaran untuk kita bersama. Tarbiyah langsung daripada Allah, buat kita jadikan pedoman dalam mengharungi jalan dakwah yang penuh liku ini. Semoga dakwah kita semakin berhikmah."
"Insya-Allah..."
p/s : Alhamdulillah, akhirnya siap. Rewarding myself with something I love to do. Lepas habis exam lah katakan. Ohoi. Lama dah ingin share benda ni, cuma masa tak mengizinkan. Moga dapat ibrah. Ameen. Selamat bercuti.
Kata Fathi Yakan,
Dalam membimbing manusia kepada kebenaran, kesabaran yang tinggi diperlukan. Kerana masyarakat memiliki ragam yang pelbagai. Ada yang menganggap tiada yang lebih penting daripada kepentingan peribadinya. Orang seperti ini terkadang tidak akan berpuas hati sehingga menemui si Da'i untuk menceritakan masalahnya, tanpa memperdulikan masa dan kondisi si Da'i. Mungkin dia akan menemui tatkala kita sedang makan, ataupun ketika kita sedang tidur untuk beristirehat. Semua ini memerlukan kesabaran yang tinggi untuk tetap terus membimbingnya dengan baik.
Kerana seorang Da'i yang sebenar adalah Da'i yang hidup untuk orang lain dan bukan untuk dirinya sendiri, berusaha untuk membahagiakan orang lain meskipun harus mengorbankan kebahagiaan peribadi. Semua itu dilakukan dengan sebuah keyakinan bahawa apa yang dilakukannya akan membuahkan keimanan di hati mad'unya, dan yakin bahawa apa yang diusahakannya akan mendapat ganjaran di sisi Allah SWT pada hari hisab.
Kerana seorang Da'i yang sebenar adalah Da'i yang hidup untuk orang lain dan bukan untuk dirinya sendiri, berusaha untuk membahagiakan orang lain meskipun harus mengorbankan kebahagiaan peribadi. Semua itu dilakukan dengan sebuah keyakinan bahawa apa yang dilakukannya akan membuahkan keimanan di hati mad'unya, dan yakin bahawa apa yang diusahakannya akan mendapat ganjaran di sisi Allah SWT pada hari hisab.
No comments:
Post a Comment